| Universiti Putra Malaysia

UPM anjur sesi interaktif bersama Tan Sri Mokhzani Mahathir


Oleh: Nur Shaeda Darus
Foto: Pegawai Litar Antarabangsa Sepang

SEPANG –
Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan, (CEM), Universiti Putra Malaysia (UPM), dengan kerjasama Kelab Kerjaya UPM mengadakan sesi pertemuan untuk mendengar dan berkongsi pengalaman Pengerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Tan Sri Mokhzani Mahathir, untuk mendengar dan berkongsi pengalaman perjalanan kehidupan beliau dalam membina kerjaya yang berjaya.

Sebagai satu usaha untuk menggalakkan dan membimbing pelajar-pelajar UPM agar berjaya dalam pemilihan kerjaya mereka masing-masing, seramai 40 pelajar dari Kelab Kerjaya UPM mengambil peluang dengan bertanyakan kepada Tan Sri Mokhzani pelbagai soalan yang dijawab oleh beliau dengan baik dan informatif.

Sesi interaktif itu diadakan bersempena Ulang Tahun ke-25 perlumbaan MotoGP di Malaysia, ketika MotoGP™ 2015 baru-baru ini.

Tan Sri Mokhzani yang memiliki beberapa syarikat pelaburan dalam industri minyak dan gas, berkata “kita hendaklah sentiasa bersedia untuk menghadapi apa jua keadaan dan belajar daripada kesilapan.”

Beliau menekankan pentingnya pengurusan masa dan pengurusan diri yang berkesan untuk membantu seseorang mencapai keseimbangan yang baik di antara kerja dan kehidupan peribadi dan untuk membolehkan seseorang itu menjadi proaktif.

Beliau turut memberi motivasi supaya pelajar berusaha mencapai cita-cita dan meniti ke arah kejayaan dengan mengikuti pelbagai kursus baharu yang banyak ditawarkan hari ini.



Melalui sesi interaktif itu, pelajar memperoleh banyak pengetahuan mengenai peluang-peluang baharu dalam  bidang pekerjaan.

Malah ketika sesi itu, pelajar diberi peluang berjalan di pit lane dan melawat garage pasukan.

Majlis itu memberi manfaat besar dan CEM UPM bercadang mengadakan lebih banyak sesi seumpama itu pada masa depan dengan menjemput penceramah daripada pelbagai bidang kerjaya.

CEM ditubuhkan pada Januari 2013, dan pada awalnya dikenali sebagai Pusat Penempatan Kerjaya (CPC).

Pusat itu mempunyai beberapa entiti berbeza kemudian dijenamakan semula sebagai CEM. Ia ditubuhkan selaras dengan Dasar Pembangunan Keusahawanan supaya setiap Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia mempunyai Pusat Keusahawanan yang bertaraf Pusat Tanggungjawab Keusahawanan di IPT masing-masing.

Ini bertujuan menggalak dan memantapkan pembangunan keusahawanan dan kebolehpasaran graduan melalui pendekatan yang lebih tersusun dan holistik di kalangan IPT tempatan selaras dengan hasrat kementerian untuk melahirkan modal insan yang berkualiti dan mempunyai pemikiran positif dan nilai keusahawanan yang tinggi.  – UPM.


WXDdCAR~