| Universiti Putra Malaysia

UPM anjur program tingkat kesedaran jangkitan penyakit untuk komuniti E-Hailing, P-Hailing

Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto: Noor Azreen Awang 

SERDANG, 29 Sept – Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan ‘Safety Awareness Training On The Importance Of Covid-19 Diseases Among E-Hailing And P-Hailing Services Community’ bagi meningkatkan kesedaran berkaitan jangkitan penyakit kepada komuniti E-Hailing dan P-Hailing.

Program itu dijalankan dengan kerjasama Malaysia One Health University Network (MyOHUN), The United States Agency for International Develoment (USAID) dan Southeast Asia One Health University Network (SEAOHUN).

Penyelaras MyOHUN, Prof. Dr. Latiffah Hassan berkata program bertujuan memberikan kesedaran mengenai risiko jangkitan virus COVID-19 kepada komuniti perkhidmatan E-Hailing dan P-Hailing, dan cara-cara pencegahannya.

“Program ini diberi secara percuma, kami memberi penerangan mengenai transmisi penyakit dan menunjukkan sampel penggunaan disinfeksi yang bersesuaian untuk digunakan,” katanya.

Beliau berkata, program itu secara langsung merupakan tanda penghargaan UPM kepada komuniti perkhidmatan hailing.

Pengarah, Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PPKKP), UPM, Prof. Madya Dr. Mohd Rafee Baharudin berkata permintaan kepada perkhidmatan hailing meningkat secara mendadak kerana situasi pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Komuniti perkhidmatan hailing perlu diberi perhatian dengan dilatih secara formal berkaitan pencegahan COVID-19. Dengan adanya program ini, secara langsung memberikan ilmu baharu kepada komuniti perkhidmatan hailing,” katanya.

Program empat hari itu dihadiri 200 peserta komuniti perkhidmatan E-Hailing dan P-Hailing dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

E-Hailing adalah penggunaan kenderaan persendirian untuk perkhidmatan penumpang, manakala P-Hailing adalah perkhidmatan penghantaran makanan, minuman serta barangan. - UPM

SXDTSAU~