| Universiti Putra Malaysia

UPM anjur program pengukuhan dan peningkatan minat matematik

Oleh : Najihah Harun

Foto: Sabri Omar

 

SERDANG, 5 Ogos – Fakulti Sains dan Pusat Asasi Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Program Pengukuhan dan Peningkatan Minat Matematik bagi meningkatkan minat matematik di kalangan pelajar sekolah menengah luar bandar negeri Selangor.

Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk P. Kamalanathan P. Panchanathan berkata program itu adalah salah satu inisiatif untuk melahirkan ramai pelajar cemerlang dalam bidang matematik serta memupuk minat dalam  Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“STEM adalah penting untuk pembangunan generasi dan masa depan negara dalam meningkatkan daya saing dalam pembangunan teknologi masa kini serta peluang kerjaya yang melibatkan bidang-bidang tersebut adalah tinggi berbanding bidang lain,” katanya.

Tambah beliau, program itu turut mendukung usaha Kementerian Pendidikan Malaysia bagi menghasilkan pelajar yang cemerlang saintifik dan teknikal dalam usaha mencapai nisbah 60:40 bagi nisbah pelajar sains dan bukan sains.

 

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Prof. Dr. –Ing. Ir. Renuganth Varatharajoo percaya program itu akan mencetuskan kesepakatan antara pihak sekolah dan UPM dalam menangani cabaran program pendidikan masa kini bagi disesuaikan dengan keperluan negara.

“Saya berasa bangga kerana UPM diberi peluang untuk menjadi peneraju utama program ini untuk menghimpunkan pelajar sekolah luar bandar bagi menjalankan program yang memberi tumpuan untuk meningkatkan kecekapan dan kebolehan pelajar terhadap penguasaan subjek matematik,” katanya.

Pengarah Pusat Asasi Sains Pertanian UPM, Prof. Madya Dr. Norihan Md. Arifin berkata penganjuran program itu dapat mengubah persepsi pelajar terhadap mata pelajaran matematik yang dianggap sebagai satu mata pelajaran yang sukar dan membosankan.

“Saya yakin minat dan motivasi pelajar akan bertambah baik dengan anjuran kem seperti ini serta meningkatkan penghayatan pelajar luar bandar terhadap subjek matematik,” katanya.

Sementara itu, program yang berlangsung selama tiga hari dihadiri 208 pelajar turut  mendapat kerjasama dari Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA) dan Kolej Kelima, UPM. - UPM

 

SXDdBAS~