| Universiti Putra Malaysia

UPM anjur program keselamatan pejalan kaki untuk kanak-kanak

By: Noor Eszereen Juferi
Photo by: Noor Azreen Awang



KAJANG, 11 Mei (UPM) - Safe Kids Malaysia, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan program keselamatan pejalan kaki kanak-kanak kepada 300 pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Kajang, Selangor baru-baru ini.

Ketua program, Dr. Kulanthayan KC Mani berkata program dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Kementerian Pengangkutan Malaysia dan FedEx Courier bertujuan untuk mendidik pelajar sekolah rendah bagi mengelakkan kemalangan dan kecederaan semasa menjalankan kegiatan harian mereka.

“Ini adalah salah satu langkah untuk menyampaikan mesej pencegahan di kalangan kanak-kanak serta kesedaran sivik di kalangan masyarakat agar lebih prihatin terhadap golongan pejalan kaki yang terutama terdiri daripada murid sekolah,” katanya pada program keselamatan pejalan kaki dalam kalangan kanak-kanak sempena ‘Minggu Keselamatan Jalan Raya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)’ di sini pada 11 Mei lepas.



Katanya program yang ditaja sepenuhnya oleh pihak Safe Kids Worldwide yang berpusat di Amerika Syarikat melalui sumbangan FedEx yang merupakan penaja program keselamatan pejalan kaki di kalangan kanak-kanak.

“Antara lima bidang utama aktiviti Safe Kids Worldwide adalah pencegahan kecederaan dari kemalangan jalan raya, lemas dalam air, kebakaran, keracunan dan jatuh di dalam dan di luar (sekolah dan kawasan permainan),” katanya.

Selain itu, Ketua Pengarah JKJR, Datuk Dr. Tam Wen Wah turut merasmikan tapak pejalan kaki yang dibina bagi keselamatan kanak-kanak Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Kajang, Selangor.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof. Ir. Dr. Renuganth Varatharajoo dan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof. Dr. Wong Shaw Voon.

Antara program diadakan iaitu aktiviti berjalan kaki berslogankan ‘Keselamatan Pejalan Kaki Di Kalangan Kanak-kanak Sekolah’ serta edaran beg dan pelekat pemantul cahaya kepada guru dan murid sekolah berkenaan.

Sementara itu, pelajar Bacelor Sains (Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan) UPM, Ahmad Farhan Radhi sebagai sukarelawan program tersebut berkata program itu mendidik beliau untuk lebih berwaspada apabila berjalan kaki di jalan raya

“Saya berharap jalan pejalan kaki yang sedia ada di Malaysia dapat dipertingkatkan lagi dengan dilengkapi aspek keselamatan terutamanya kepada golongan orang kelainan upaya (OKU),” katanya.

Rakannya Jacquline Lim Sue Jac berkata pengalaman pertama beliau mengikuti program ini akan dimanfaatkan dan memperolehi ilmu baru dalam aspek keselamatan pejalan kaki di kalangan kanak-kanak.

“Dengan mengikuti aktiviti ini, saya mendapat idea untuk mengaplikasikan ilmu teori yang dipelajari pada waktu kuliah kepada praktikal bagi merealisasikan aspek keselamatan untuk membantu terutamanya murid sekolah,” katanya. – upm

Nej/kgo/kamn


SXDdAA~