| Universiti Putra Malaysia

UPM anjur program didik kanak-kanak aktiviti pertanian mesra alam


Oleh: Syazana Muhammad

SERDANG, 12 Nov – Unit Organik, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Program Pendidikan Organik Kanak-Kanak Untuk Makanan Sihat bagi memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak terhadap kepentingan aktiviti pertanian secara mesra alam.

Ketua program, Dr. Martini Mohammad Yusoff berkata kanak-kanak diberi pendedahan untuk menyediakan bahan tanaman secara organik termasuk kompos, tuaian serta pengendalian hasil tanaman untuk pemakanan sihat.

Katanya, penanaman organik termasuk kaedah penjagaan kawasan penanaman organik yang seratus peratus tidak menggunakan baja dan racun kimia untuk pengawalan serangga perosak.



Pelopor Unit Organik, Fakulti Pertanian, UPM, Prof. Madya Dr. Siti Hajar Ahmad berkata kepentingan pengambilan makanan yang dihasilkan secara organik semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat.

“Masyarakat dapat melihat pengambilan makanan yang ditanam secara organik adalah lebih baik untuk kesihatan dan kualitinya juga terjamin,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti yang diadakan bukan sahaja untuk mendedahkan kanak-kanak kepada kepentingan pemakanan sihat tetapi juga terhadap cara penanaman yang mudah di samping berseronok menikmati alam yang menghijau tanpa pencemaran.

Pelajar mobiliti dari China Yantzen University, Chen Mengyuan, 19, berkata ini adalah pengalaman pertama beliau mengikuti program seumpama itu yang memberi ilmu baharu kepada dirinya.

“Aktiviti ini tiada di negara saya dan saya berharap akan dapat mendidik kanak-kanak di negara saya untuk mempelajari penanaman organik untuk dimanfaatkan bersama,” katanya.

Program satu hari itu yang kali kedua dianjurkan, mendapat sambutan di kalangan ibu bapa peserta. Ia bermula dengan aktiviti penyediaan tanah, penanaman sayur dan lawatan ke tapak penyediaan kompos. - UPM

 


WXETOAm~