UPM Anjur Persidangan Antarabangsa Pembangunan Hutan Mapan | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM anjur persidangan antarabangsa pembangunan hutan mapan

UPM anjur persidangan antarabangsa pembangunan hutan mapan


Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto: Marina Ismail

SERDANG, 9 Ogos 2016 – Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan International Conference on Sustainable Forest Development in view of Climate Change (SFDCC 2016) membincangkan isu-isu pembangunan hutan mapan dengan mengambil kira faktor perubahan iklim di dalam strategi dan pelan pembangunan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, penganjuran SFDCC 2016 bertepatan kerana kini terdapat banyak persoalan bagaimana sumber hutan dapat diuruskan secara mapan di masa hadapan dengan mengambilkira kesan daripada perubahan iklim.

“Perubahan iklim memberi kesan peningkatan suhu, perubahan rejim hujan dan ekologi hutan untuk jangka masa panjang. Justeru, kajian berkaitan dengan perubahan iklim serta strategi  perlu dilakukan untuk memastikan bekalan hutan yang mapan serta fungsi hutan tidak terjejas agar dapat dimanfaatkan kepada generasi masa depan,” katanya.

Beliau berharap peserta persidangan meningkatkan jaringan kerjasama supaya dapat  menggembleng tenaga ke arah mencari kaedah penyelesaian serta merancang strategi yang bertepatan dengan isu-isu berkaitan.



Pengerusi SFDCC 2016, Prof. Madya Dr. Seca Gandaseca pula berkata SFDCC 2016  mengumpulkan hampir 200 penyelidik, ilmuwan dan pembuat polisi perhutanan daripada pelbagai bidang berkaitan dengan perhutanan dari 17 negara.

“Persidangan ini bertujuan menyebar luas penemuan-penemuan kajian terkini berkaitan pelbagai bidang perhutanan dari hidrologi, operasi, biodiversiti, ekonomi, pelancongan dan lain-lain dengan mengambi kira faktor perubahan iklim.

“Isu-isu berkaitan pembangunan hutan secara mapan menjadi inti pati utama perbincangan kali ini,” katanya.

Persidangan itu dianjurkan dengan kerjasama International Union of Forest Research Organization (IUFRO), Asia-Pacific Association of Forestry Research Institutions (APAFRI), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP). Ia dibiayai oleh Sarawak Timber Association (STA) dan Malaysian Timber Council (MTC). – UPM


Kemaskini:: [eszereen]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1506300710