UPM Anjur Konvensyen Persatuan Komunikasi Pasifik Dan Asia 2016 | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM anjur Konvensyen Persatuan Komunikasi Pasifik dan Asia 2016

UPM anjur Konvensyen Persatuan Komunikasi Pasifik dan Asia 2016


Oleh:  Shafini Raisha        
Foto: Marina Ismail

SERDANG, 21 Julai - Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) Universiti Putra Malaysia telah mengadakan Konvensyen Persatuan Komunikasi Pasifik dan Asia (PACA) ke-11.

Konvensyen selama empat hari itu yang bertemakan ‘Paradigma Masa Depan Asia: Budaya, Komunikasi dan Integrasi' dihadiri 200 pensyarah dan pelajar dari negara-negara anggota ASEAN, Amerika Syarikat dan Korea Selatan.

Dalam ucapan pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggesa orang ramai menjadikan media sosial sebagai platform dialog secara sihat serta penyaluran maklumat dengan tepat.

Katanya, pengguna media sosial dan internet harus lebih berwaspada dan memberi perhatian terhadap setiap berita yang tersebar dan mesti memastikan kesahihan berita yang diterima sebelum dikongsikan dalam media sosial.

“Berita atau maklumat yang salah akan menimbulkan rasa panik antara masyarakat. Bagi mengekalkan keamanan dalam kepelbagaian budaya dalam negara, media sosial harus menjadi platform untuk memudahkan pertukaran dialog dan maklumat tepat antara pengguna, tidak memecahbelahkan dan tidak memuat naik status yang mengandungi unsur fitnah," katanya pada perasmian konvensyen itu di UPM.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.



Sementara itu Dekan FBMK, Prof. Dr. Mua’ti @ Zamri Ahmad berkata penganjuran konvensyen itu bagi mewujudkan platform untuk para akademik dan pengamal berkongsi trend dan isu-isu semasa dalam komunikasi khususnya kajian komunikasi sekitar rantau Asia yang kurang diberi pengiktirafan yang tepat.

“Sering kali, pandangan dari rantau ini kurang didengari dalam komuniti penyelidikan global. Perhatian dan pengiktirafan daripada sarjana, pengamal dan aktivis Asia dan Pasifik amat diperlukan memandangkan perubahan pesat sosio-politik dan ekonomi rantau ini,” katanya.

PACA yang ditubuhkan pada 1 Mac 1995 antara lain bertujuan menggalakkan kajian komunikasi antara budaya berteraskan Asia. - UPM


 


Kemaskini:: [eszereen]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511284759