| Universiti Putra Malaysia

UPM anjur Karnival Jom Sains pupuk minat pelajar terhadap sains dan teknologi


Oleh: Yasmin Yusoff

SERDANG, 16 Mac – Sebanyak 20 buah sekolah menyertai Karnival Jom Sains selama dua hari yang dianjurkan Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) di sekitar Panggung Percubaan, UPM.

Program itu yang merupakan inisiatif Fakulti Sains UPM dan beberapa agensi luar bertujuan memupuk minat pelajar sekolah rendah dan menengah terhadap pelajaran, dengan berteraskan STEM (Sains,Teknologi, Kejuteraan dan Matematik).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UPM, Prof. Dato' Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, ilmu sains perlu dipupuk dari awal bagi mendorong generasi muda melanjutkan pengajian dalam bidang berkenaan.

“Tidak semua pelajar meminati bidang sains. Minat terhadap bidang sains ini hendaklah dipupuk dari awal supaya dapat merangsang percambahan idea ke arah melahirkan pelajar yang kreatif, inovatif dan berdaya saing secara sihat,” katanya semasa merasmikan Majlis Karnival Jom Sains di Panggung Percubaan UPM.



Dekan Fakulti Sains UPM, Prof.Dr. Zainal Abidin Talib berkata karnival yang diadakan bersempena ulang tahun ke-40 Fakulti Sains itu bertujuan memupuk minat masyarakat terhadap bidang sains dan aplikasinya.

“Ini juga dapat memberikan pendedahan secara terperinci kepada pelajar untuk meneroka ilmu sains melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang karnival.

“Antara aktiviti yang dijalankan secara serentak dalam karnival ini ialah, STEM Outdoor Challenge, Putra Science Olympaid 2016 (PuSO’16), STEM Exhibition, STEM Fun Fair dan Short Video Competition yang bertemakan The Power of Science,” katanya.



Sementara itu, Pengarah Karnival Jom Sains KhairulridzwanJaafar berkata karnival itu berupa satu platform khas bagi penyebaran keunggulan sains serta memperkukuhkan semangat kerja berpasukan di kalangan pelajar.

“Pelajaran sains biasanya dipelajari dalam bentuk teori tetapi dalam aktiviti karnival kali ini, kami mengaplikasikan sains dalam bentuk permainan untuk menarik minat pengunjung yang hadir. Kami juga turut memberikan khidmat kepada pengunjung dalam membantu mereka untuk lebih memahami kepentingan dan kelebihan mempelajari sains,” katanya.

Program STEM dan Outreach Fakulti Sains UPM telah bermula pada awal penubuhan fakulti bertujuan untuk memupuk budaya kesukarelawan di kalangan pelajar agar prihatin serta menyumbang khidmat masyarakat kepada komuniti melalui pemindahan dan transformasi ilmu. - UPM


SXDdXAc~