| Universiti Putra Malaysia

UPM anjur ICCI 2015 bincang penambahbaikan tanaman melalui teknologi baharu

Oleh Syifarida Muhamad Zaki
Foto oleh Noor Azreen Awang



SERDANG, 2 Dis – Institut Pertanian Tropika, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Fakulti Pertanian telah menganjurkan Persidangan Antarabangsa Penambahbaikan Tanaman ( ICCI 2015) bagi aktiviti pemuliharaan  dan penggunaan lestari hasil tanaman.

Pembentangan kertas kerja merangkumi aplikasi teknologi termaju ke atas pelbagai tanaman utama dan minor seperti kelapa sawit, padi, kentang, tomato dan spesis herba yang penting pada peringkat global seperti sumber nutrisi untuk manusia atau bahan mentah industri.

Pengerusi ICCI 2015, Prof. Datin Dr. Siti Nor Akmar Abdullah berkata melalui persidangan itu saintis tempatan dapat bekerjsama di peringkat antarabangsa membincangkan bagaimana teknologi termaju dapat membantu dalam menghasilkan tanaman yang selamat.

“Impak negetif kepada penghasilan tanaman disebabkan penyakit yang boleh membawa bencana dan perubahan iklim global memerlukan penyelesaian yang inovatif.

“Persidangan ini dapat membincangkan bagaimana teknologi termaju dalam bidang ‘omics’, penanda molekul dan manipulasi genetik digunakan untuk memahami interaksi yang kompleks dalam sistem biologi dan tindak balas kepada persekitarannya.



“Teknologi ini juga digunakan untuk membangunkan kaedah yang cekap dan terperinci penghasilan varieti tanaman yang lebih baik untuk memberi penyelesaian kepada pelbagai isu untuk pembangunan pertanian yang lestari,” katanya.

Beliau menambah ICCI 2015 dapat memberi peluang yang unik untuk saintis bertemu dengan pakar antarabangsa dari universiti terkemuka dunia dalam bidang pertanian dan biosains.

Persidangan bertemakan “Kelastarian melalui Teknologi Termaju” yang berlangsung selama dua hari itu menampilkan 200 peserta dari 11 negara terutamanya dari rantau Asia, Eropah dan Amerika Syarikat.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau dalam ucapannya berkata kerajaan menyedari pertanian antara sektor utama yang menyumbang kepada ekonomi Malaysia.



“Justeru kerjasama antara pakar dan saintis tempatan dengan antarabangsa perlu diperkukuhkan untuk memastikan penghasilan tanaman negara selamat dan lestari untuk masa hadapan.

“Teknologi baharu yang dikenali sebagai ‘omics’ penanda molekul dan manipulasi genetik telah digunakan di negara maju untuk merawat tanaman yang berpenyakit serta menghasilkan tanaman yang lebih baik,” katanya ketika merasmikan persidangan itu.

Persidangan itu menggariskan terdapat pelbagai punca yang boleh menyebabkan penyakit terhadap tanaman antaranya bencana alam, perubahan iklim, masalah struktur tanah dan perbuatan manusia.


WXDdNAi~