| Universiti Putra Malaysia

UPM anjur IAC 2016 bincang teknologi pertanian terkini


Oleh: Emira Farahnaz dan Frenceay Titus

SERDANG, 4 Okt - Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan International Agricultural Congress (IAC) 2016 bagi mewujudkan forum intelektual antarabangsa yang membincangkan secara terperinci mengenai teknologi pertanian terkini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek berkata perkongsian pengetahuan di kalangan para akademik, penyelidik, usahawan, pembuat polisi dan pengamal dapat mengatur strategi serta perancangan berkesan untuk menangani permasalahan pertanian masa kini.

“Aktiviti pertanian masa kini terdedah kepada faktor persekitaran seperti perubahan iklim yang drastik dan amalan tidak mapan yang boleh memudaratkan dalam jangka masa panjang,” katanya.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris pula berkata golongan intelek dan pakar yang arif dalam bidang masing-masing perlu dikumpul untuk membincangkan isu dan permasalahan serta penggunaan ‘teknologi hijau’ (green technology) dalam sektor pertanian.

Pengerusi IAC 2016, Prof. Dr. Aziz Arshad pula berkata kongres yang diadakan dua tahun sekali ini bertujuan memberi platform bagi pakar bidang terbabit untuk mewujudkan dialog intelektual di peringkat antarabangsa untuk bertukar inovasi dan penemuan baharu bagi meningkatkan produktiviti pertanian

Katanya, tema “Enhancing Green Agriculture” dipilih bagi memberi fokus sepenuhnya kepada kampus hijau dan mengurangkan pembaziran sumber alam.



Pada majlis tersebut memorandum persefahaman ditandatangani antara UPM dan Universiti Brawijaya, Indonesia  bagi memudahkan aktiviti penyelidikan, pertukaran pelajar dan mobiliti.

Turut hadir Dekan Fakulti Pertanian, Prof. Dr. Abdul Shukor Juraimi. - UPM


WXEYWA4~