| Universiti Putra Malaysia

UPM anjur Forum Serdang Heritage memperingati sejarah penubuhan universiti


Oleh: Nik Hafzaini Nik Hassan


SERDANG, 4 Mei –  Pusat Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan forum Serdang Heritage sempena Sambutan Hari Alumni UPM 21 Mei bagi memperingati sejarah penubuhan serta kejayaan universiti penyelidikan itu dalam melahirkan graduan pelbagai bidang dan kepakaran.

Pengarah Pusat Alumni UPM, Prof. Madya Dr. Mohd Bakri Ishak berkata forum Serdang Heritage bertemakan “Berilmu Berbakti: Legasi Membitarakan Pertanian”  diadakan simbolik tarikh 21 Mei 1931 sempena tertubuhnya Sekolah Pertanian Malaya di Serdang.

“Program ini merupakan salah satu aktiviti diiktiraf sebagai Sambutan Hari Alumni UPM pada 21 Mei yang diraikan setiap tahun oleh para alumni, warga kampus dan pelajar UPM untuk berkongsi pengalaman serta kepakaran kepada bakal alumni UPM,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai program dirangka dalam menjayakan Sambutan Hari Alumni UPM itu bertujuan untuk membawa alumni kembali ke UPM dan seterusnya melestarikan legasi kegemilangan bertepatan dengan misi UPM ‘Berilmu Berbakti’.

Pada petang itu, Tabung Amanah Endowmen UPM jugakan dilancarkan. Ia merupakan satu usaha dan inisiatif UPM dalam memartabatkan bidang kesarjanaan dan keilmuan selari dengan misi universiti.

Selain itu, ia juga dilihat sebagai kayu pengukur terhadap Tradisi Menyumbang, Budaya Ikatan alumni kepada alma mater. Ia bersesuaian dengan hasrat UPM bahawa alumni seharusnya  menyumbang kembali kepada alma mater melalui sumbangan idea, masa dan kewangan. UPM menyanjung tinggi serta menghargai jasa serta sumbangan para alumni.

Kempen MY 1Alumni 1Ringgit juga dilancarkan sebagai salah satu usaha dalam merancakkan dana untuk Tabung Amanah Endowmen UPM. Sumbangan yang dihulurkan menggambarkan bahawa UPM sememangnya memiliki sebuah komuniti alumni yang mantap serta mempunyai keinginan untuk membantu dalam pembangunan pendidikan universiti.

Acara lain yang diadakan ialah Tautan Mahabbah (Majlis Kesyukuran) pada 19 Mei dan kemuncak acara adalah Majlis Makan Malam Sirih Pulang ke Gagang @Homecoming IX.



Sementara itu, forum Serdang Heritage yang dihadiri oleh 200 orang tetamu jemputan termasuk alumni dan pelajar UPM mengupas perjalanan alumni UPM mengenai penerimaan dan penjanaan ilmu semasa peringkat universiti yang dibarisi ikon alumni terbilang iaitu Prof. Emeritus Dato’ Dr. Makhdzir Mardan, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Palm Oil Association (MPOA) (Alumni Kelas 1974); Dato’ Dr.Sharifuddin Abdul Wahab, Pengarah KSK Group Berhad (Alumni Kelas 1983); Mohamad Izham Mohamad Alias, Pengasas Blog Kebun Bandar (Alumni Kelas 2012); serta Encik Abdullah Arshad, Timbalan Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi (CoSComm) (Alumni 1997) selaku moderator.

Garapan dan kupasan penceritaan yang baik di forum tersebut oleh tiga ahli panel telah menyerikan lagi tema forum yang menyentuh konteks bermanfaat serta memperlengkapkan diri dengan ilmu yang strategik dengan tuntutan semasa serta bagaimana ia mampu memberi sumbangan kepada pembentukan kekayaan dan pembangunan negara. - UPM


SXESUA0~