| Universiti Putra Malaysia

UPM anjur bengkel kaedah penyelidikan pegawai polis

SERDANG, 5 April – Laboratori Statistik Komputasi dan Penyelidikan Operasi, Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui geran KTGS JINM@PTJ berusaha memberikan pendedahan dan ilmu pengetahuan kepada Pegawai Kanan Polis di Urus Setia Ketua Polis Negara (Penyelidikan dan Pembangunan) dalam melaksanakan penyelidikan mengikut kaedah yang tepat, terkini, dan berkualiti.

Sehubungan itu, bengkel Kaedah Penyelidikan (Pegawai Polis PDRM) diadakan di Makmal Komputer Ulugh Beg, INSPEM, UPM yang dihadiri 14 Pegawai Kanan Polis berpangkat Suprintenden sehingga ke Inspektor dari Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan), Bukit Aman.

Ia bertujuan memberikan pendedahan kepada Pegawai Polis Kanan mengenai asas kaedah penyelidikan melalui proses Saintifik Dewey dalam merancang penyelidikan.

Penganjuran bengkel itu juga merupakan jalinan komuniti antara INSPEM, UPM dan PDRM.

Penceramah adalah Ketua Laboratori Statistik Komputasi dan Penyelidikan Operasi, INSPEM, UPM, Prof. Madya Dr. Lee Lai Soon, bersama Pensyarah Kanan, Jabatan Matematik, Fakulti Sains, UPM, Dr. Chen Chuei Yei.

Melalui bengkel itu, diharap peserta dapat melaksanakan penyelidikan dan menghasilkan pelaporan penyelidikan yang berkualiti yang menepati ciri-ciri penyelidikan.

Secara keseluruhan, ia berjalan dengan baik dan mencapai objektif. Peserta memberi komitmen dan perhatian yang baik serta saling bekerjasama sesama mereka, dan dengan penceramah serta urusetia kursus. - UPM

WXEZVA~