| Universiti Putra Malaysia

UPM anjur Arduino Hands-On Workshop: From Zero to Hero


Oleh: Dr. Noor Ain Kamsani

SERDANG
– Jabatan Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), menganjurkan Arduino Hands-On Workshop: From Zero to Hero untuk memberi pendedahan kepada pelajar sekolah menengah mengenai ilmu kejuruteraan.

Ketua program, Dr. Noor Ain Kamsani berkata program itu memberi pendedahan pelajar tingkatan 4 dan 5 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Indah bagi mempelajari aplikasi serta konsep elektrik dan elektronik dengan pemasangan litar menggunakan breadboard, muat turun kod program pada papan Arduino.

“Pelajar turut didedahkan dengan mereka cipta rumah pintar dengan menggunakan alatan elektronik yang dikawal oleh papan litar Arduino. Selain itu pelajar dapat mempelajari prinsip asas komponen elektronik berserta pengaturcaraan yang dapat meningkatkan kreativiti serta minat pelajar dalam bidang kejuruteraan.

“Arduino adalah sejenis papan litar yang digunakan untuk membuat sistem pengawalan yang boleh berinteraksi dengan peranti-peranti elektronik yang lain. Ia merupakan satu platform pengkomputeran fizikal berdasarkan papan pengawal mikro yang mudah,” katanya.

Beliau berkata, program itu turut memberi manfaat kepada pelajar UPM di mana mereka boleh mempelajari teknologi baharu dan pada masa yang sama berkhidmat kepada masyarakat dengan mengajar pelajar-pelajar sekolah.

“Program ini telah meningkatkan tahap keyakinan pelajar UPM untuk memberi penerangan terperinci kepada pelajar sekolah semasa menyampaikan pengetahuan teknikal di khalayak ramai,” katanya.

Beliau berharap, pendedahan itu akan meningkatkan minat pelajar untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik di masa depan. Selain itu fasilitator dari UPM turut  menunjukkan beberapa aplikasi Arduino seperti di Smart Home, e-piano dan Steady Hand Game.

Sementara itu, guru sekolah Zaliza Muhammad berkata aktiviti itu memberi pendedahan baharu mengenai inovasi elektronik kepada pelajarnya yang kini dalam aliran kejuruteraan mekanikal.

“Ini memberikan pelajar saya pendedahan baharu mengenai aktiviti luar kelas dan meningkatkan tahap keyakinan mereka untuk berjaya dalam bidang kejuruteraan,” katanya. -UPM


WXDcWAy~