| Universiti Putra Malaysia

UPM wujud pusat latihan sistem kewangan ICT masa terkini


KUALA LUMPUR, 12 Mac – Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Century Software (M) Sdn. Bhd. (CENSOF), sebuah syarikat ICT, akan mewujudkan pusat latihan pengguna kepada agensi kerajaan dan institut pengajian tinggi yang terlibat dengan aplikasi sistem kewangan masa kini.

Kerjasama antara UPM dan CENSOF itu telah dimeterai melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd Fauzi Ramlan, Bursar UPM, En. Zulkiflee Othman, manakala Pengarah Kumpulan Urusan CENSOF, Datuk Samsul Husin dan Pengarah Eksekutif CENSOF, Ameer Shaik Mydin mewakili syarikat mereka di sini pada 12 Mac lepas.

Prof. Datuk Dr. Mohd Fauzi Ramlan berkata UPM menjadi perintis dalam merealisasikan pembudayaan teknologi sistem kewangan baharu.

“UPM komited mengoptimumkan penggunaan ICT antaranya dengan membangunkan Sistem Tuntutan Staf Bersepadu (e-Claim)  berserta fasiliti bayaran  tuntutan secara EFT (Electronic Fund Transfer) dan pilihan untuk menyalurkan tuntutan terus kepada tabung dana wakaf ilmu” katanya pada majlis menandatangani MoU itu.

Pengarah Kumpulan Urusan CENSOF Holdings Berhad, Datuk Samsul Husin berkata CENSOF akan bekerjasama dan membawa agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi terlibat untuk memanfaatkan kemudahan infrastruktur data recovery centre di UPM.

“CENSOF akan memberikan kepakaran teknikal rekabentuk dan implementasi perisian, pembangunan perisian dan rundingan dalam pengurusan kewangan. Adalah penting untuk pihak industri dan universiti bekerjasama dalam usaha mendapatkan pengalaman serta berkongsi idea dan inovasi baharu untuk dimanfaatkan bersama masyarakat,” katanya.

Sementara itu, CENSOF yang kini dikenali sebagai CENSOF Holdings Berhad sebelum ini dilantik oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia untuk mengendalikan projek SAGA–JANM  mulai Julai 2005 dan telah diperluaskan penggunaannya oleh UPM.

-- upm/nej/kgo


WXDdEA2~