| Universiti Putra Malaysia

UPM – CIDBH rintis usaha tubuh Pusat Kecemerlangan Teknologi Binaan Hijau


Oleh:  Noor Eszereen Juferi
Foto:  Marina Ismail

SERDANG, 1 Mac
– Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama CIDB Holdings Sdn. Bhd. (CIDBH) merintis perancangan penyelidikan dalam menubuhkan sebuah Pusat Kecemerlangan (COE) bagi membangunkan perbandaran mampan dan teknologi hijau negara.

Dekan FRSB UPM, Prof. Madya Lar. Dr. Osman Mohd. Tahir berkata kolaborasi itu juga bertujuan untuk memperkukuhkan Teras Strategi Penyelidikan dan Pembangunan dalam Construction Industry Transformation Program (CITP) 2016-2025 untuk menubuhkan sebuah COE di peringkat kebangsaan.



“Selain itu, ini turut menggalakkan kolaborasi akademia dan industri dalam pendidikan sumber manusia bagi memajukan program latihan pembangunan kapasiti dan kemampuan sumber manusia serta R&D bagi memajukan pembangunan mampan,” katanya pada majlis pelancaran pelan strategik FRSB 2016-2020 dan pameran STEdex’15/16  serta pertukaran memorandum persefahaman (MoU)  UPM-CIDBH di sini.

Beliau berkata, ini akan dapat meningkatkan taraf UPM sebagai sebuah universiti penyelidikan yang diiktiraf berkeupayaan menjalankan penyelidikan pembangunan mampan yang bertaraf antarabangsa melalui pengiktirafan peranan UPM dalam CITP 2016-2025.

“Ini sejajar dengan hasrat universiti untuk membangunkan program kolaborasi bersama serta mencari pembiayaan dan geran penyelidikan bagi menjalankan aktiviti penyelidikan universiti bersama industri,” katanya.

FRSB merupakan Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang pertama di UPM yang  membangunkan Pelan Strategik  FRSB 2014-2020 mengikut misi dan visi yang ditetapkan dalam Pelan Strategik UPM 2014-2020 yang telah dirasmikan oleh Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris.



Pameran STEdex’15/16 turut dirasmikan pada majlis itu iaitu pameran tahunan hasil produk-produk pensyarah dan pelajar FRSB, UPM. Penganjuran kali ke-7 itu memberi fokus kepada aplikasi penyelidikan di dalam amalan reka bentuk.

Pameran tersebut dihasilkan melalui penyelidikan bertujuan untuk membuka satu dimensi baharu penghasilan karya yang bertaraf antarabangsa yang telah menjadi amalan oleh universiti seluruh dunia serta untuk membentuk budaya penyelidikan kepada proses pembelajaran. - UPM


WXDdHAU~