| Universiti Putra Malaysia

UPM 45 TERBAIK DI DUNIA - BEST GLOBAL UNIVERSITIES FOR AGRICULTURAL SCIENCES

Oleh Azman Zakaria



SERDANG, 6 Okt - Universiti Putra Malaysia (UPM) melakar kejayaan cemerlang apabila subjek Sains Pertanian disenaraikan pada ranking ke-45 terbaik dunia dalam Best Global Universities Ranking 2016 yang dikeluarkan oleh U.S.News & World Report hari ini.

Kedudukan penarafan subjek Sains Pertanian itu meningkat sembilan anak tangga kepada ranking ke- 45 berbanding kedudukan ke-54 di dunia pada tahun 2014.

U.S.News & World Report juga telah menyenaraikan UPM sebagai Universiti terbaik di Asia Tenggara dan berada pada ranking ke-tujuh di Asia untuk Best Global Universities for Agricultural Sciences.

“Kejayaan UPM dalam bidang Sains Pertanian adalah impak daripada kualiti akademik, penyelidikan dan sumbangan yang cemerlang daripada ahli akademik, staf dan pelajar,” kata Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Ramlan.

“Komitmen, semangat dan dedikasi komuniti UPM dalam memperkasakan bidang pertanian telah diiktiraf oleh penarafan global dan sekali gus membuktikan kebitaraan UPM dalam bidang Sains Pertanian,” katanya.

Ranking UPM ke-45 terbaik di dunia ini adalah hasil peningkatan skor sebanyak 3.7 kepada 71.1 berbanding 68 skor pada 2014.

Prestasi cemerlang Sains Pertanian UPM ini disokong oleh empat indikator utama yang berjaya disenarai dalam kedudukan 50 terbaik dunia.

Indikator itu ialah Regional Research Reputation berada pada ranking ke-lapan, Publication (ke-16), Total Citation (ke-37) dan Number of Publications that are among the 10 percent Most Cited (ke-49).    

“Peranan kepimpinan yang dimainkan oleh UPM dalam menyokong pemerkasaan bidang pertanian adalah sebagaimana terangkum dalam Pelan Strategik UPM 2014-2020,” kata Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi.

“Saya amat bangga dengan pencapaian ini dan ia merupakan usaha kolektif dan impak pelan strategik Putra Global 200 sehingga ia diiktiraf pada peringkat komuniti global,” katanya.

Melalui aspirasi Putra Global 200 (PG200) itu, UPM meletakkan sasaran untuk muncul dalam kelompok 200 universiti terbaik dunia pada tahun 2020.

Laporan Best Global Universities Ranking itu yang dikeluarkan pada 6 Oktober 2015 membuat penilaian keseluruhan universiti-universiti utama dunia dan membuat penarafan ranking berdasarkan 22 subjek.

Bagi subjek Kejuruteraan UPM pula, ia untuk pertama kali tersenarai dalam ranking, dan berada pada kedudukan ke-245.

U.S.News & World Report  menyenaraikan 750 buah universiti terbaik di dunia untuk penilaian 2015 berbanding 500 universiti pada 2014. - UPM

 


SXDdUA0~