| Universiti Putra Malaysia

UCTC UPM berkolaborasi tingkat kemahiran vokasional tenaga pengajar AADK

 

 

Oleh: Nafisah Awang

SERDANG, 30 Ogos – Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia (UPM) membantu meningkatkan kemahiran vokasional tenaga pengajar Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) melalui kursus pembangunan kemahiran.  

Jaringan dan kolaborasi UCTC, UPM dan AADK buat pertama kalinya itu memfokuskan latihan teknikal dalam bidang pertanian dan penghasilan mee.

Kursus empat hari itu yang bertemakan ‘Tanam Sayur Jauhi Dadah’ diadakan di UPM dan disertai 24 staf AADK dari beberapa Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN).

Pengarah UCTC, Prof. Dr. Mansor Abu Talib, berkata program itu merupakan satu usaha ke arah memantapkan kemahiran seterusnya memastikan teknik pengajaran yang betul dapat disampaikan kepada klien.

Kursus itu memasukkan elemen membentuk agen perubahan yang berkesan melalui teknik “learning outcome” yang disampaikan Prof. Dr. Mansor dan Timbalan Pengarah UCTC, Prof. Madya Dr. Mohd Nizam Osman.

Perkongsian itu mengambilkira hasil kajian dan analisis holistik yang dijalankan oleh UPM.

Keseluruhan kursus dikendalikan secara amali, seperti bagi kursus penanaman sayuran, UPM menyediakan plot kosong untuk peserta menanam dari peringkat awal sehingga ke peringkat penuaian.

 

Pendekatan secara amali itu lebih menarik minat peserta mendalami ilmu yang dipelajari, tidak cepat bosan dan dapat merasai pengalaman sebenar bersama klien menggunakan teknik tanaman yang betul.

Peserta diberi pendedahan tentang semaian biji benih, penyediaan batas tanaman, teknik pindah anak pokok, teknik semaian terus, pengairan, pembajaan serta pengurusan dan kawalan serangga perosak.

Modul yang disediakan oleh UPM disuntik dengan elemen terapi pertanian supaya ia menjadi asas kepada peserta dan boleh menjadikan aktiviti ini sebagai terapi rawatan kepada pesakit untuk kembali pulih.

Selain topik utama iaitu pengurusan penanaman sayuran, pelbagai perkongsian topik menarik juga terkandung dalam kursus ini. Peserta turut diajar cara menyediakan effective microorganism (EM), pembuatan kompos dan pembiakbakaan buah-buahan.

Bagi teknik pembuatan kompos, dua teknik diperkenalkan iaitu kompos basah dan kering. Hasil kedua-dua kompos itu boleh dijadikan sebagai bahan media tanaman dan sumber baja tanaman. Untuk teknik pembiakbakaan buah-buahan pula, peserta mencuba sendiri membuat cantuman pokok durian selepas sesi demonstrasi teknik cantuman dan tut pokok durian.

Tenaga pengajar terdiri daripada staf Seksyen Sayuran, Taman Pertanian Universiti (TPU), UPM dan pegawai pertanian daripada UCTC.

Kakitangan AADK turut memberi input dan berkongsi pengalaman menaman bersama klien di pusat pemulihan.

Aspek keusahawanan turut diselitkan bagi memastikan hasil pengeluaran sayuran dapat menjadi sumber pendapatan pusat.

Pegawai Pertanian, Nafisah Awang yang juga penyelaras program berkata, kursus itu bukan one off tetapi adalah program berterusan, dan UCTC, UPM mahu memastikan objektif program tercapai.

UCTC UPM akan membuat pemantauan ke atas PUSPEN yang terlibat dengan kursus penanaman sayuran dan penghasilan mee bagi membantu klien dan memastikan matlamat itu tercapai. -  UPM

 

SXDdJAm~