| Universiti Putra Malaysia

UCTC gemilang lahirkan usahawan

Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Noor Azreen Awang



SERDANG - Bukan sekadar penternak, kini sebahagian daripada pengusaha ternakan kambing di Mukim Batu Talam, Raub sudah melangkah setapak lagi dengan menunjukkan ciri-ciri sebagai usahawan.

Mereka bukan sahaja menternak kambing, malah sudah ada yang mempelbagaikan kegiatan dengan turut menternak lembu serta ayam kampung, yang berjaya menjana pendapatan lumayan.

Kejayaan transformasi itu hasil bimbingan dan pendedahan yang diberikan oleh Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia (UPM) bermula pada tahun 2011.



Pengarah UCTC, Prof. Madya Dr. Hawa ZE Jaafar berkata melalui pendekatan yang diberi nama ‘Program Pengehakupayaan Komuniti Penternak Kambing’ itu , UCTC membawa pakar untuk melihat dan membantu membangunkan penternakan kambing melalui dana daripada Program Pemindahan Kepakaran.

“Sebenarnya kita sudah mula masuk ke situ bagi melaksanakan program berkenaan pada pertengahan 2010 tetapi kerja-kerja sebenar bersama dengan Fakulti Pertanian bermula pada 2011.

“Pada mulanya penternak ini tiada ilmu dan kemahiran dalam ternakan kambing. Oleh itu kita adakan latihan kemahiran, pindahkan ilmu, adakan demonstrasi serta membawa mereka ke kawasan ternakan di luar.

“Sebahagian daripada penternak kambing di Mukim Batu Talam, Raub sudah menunjukkan ciri-ciri sebagai usahawan dan turut menternak lembu serta ayam kampung,” katanya dalam temu bual.

Beliau berkata, pada awalnya hanya terdapat tujuh orang sahaja yang menternak kambing di kawasan berkenaan tetapi kini meningkat kepada 30 orang dan daripada jumlah itu antara 10 dan 15 orang adalah penternak aktif, dengan tiga daripadanya sudah menunjukkan ciri-ciri keusahawanan.

Katanya, misi UCTC UPM di Batu Talam adalah untuk menjadikan Raub sebagai Zon Pengeluaran Ternakan, dan projek yang dijalankan boleh menjadi projek angkat dan projek  Flagship UPM untuk dilaksanakan di daerah lain.



Dr. Hawa juga berkata, UCTC akan melancarkan projek Propogasi Tumbuhan Kacip Fatimah di Hulu Langat, Selangor untuk menampung pembangunan industri herba negara.

Propogasi atau pembiakan ini akan menggunakan daun pokok itu, katanya sambil menambah kata bahawa permintaan terhadap anak benih tumbuhan ini di Hulu Langat pada 2013 adalah sebanyak 150,000 yang tidak dapat dibekalkan.

Beliau juga berkata, UCTC turut melaksanakan program ‘UPM-Green Fingers’ bertujuan memupuk minat komuniti setempat dalam bidang pertanian serta program Pertanian Bandaran .

Program Pertanian Bandaran bertujuan menyemarakkan semula pertanian di bandar dengan menggunakan pendekatan moden bersesuaian dengan persekitaran di rumah, terutamanya melalui tanaman sayur-sayuran dengan matlamat mengurangkan kos sara hidup setiap keluarga, sebagai satu konsep riadah dan dapat bersemuka antara jiran-jiran ketika di halaman rumah.



“Kita menganggarkan ia boleh menjimatkan kos sara hidup antara RM93 dan RM155 sebulan bagi setiap keluarga,  atau RM186 juta selama setahun untuk 100 keluarga,” katanya.

UCTC ditubuhkan pada 2013 melalui ‘rebranding’ nama yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Pengembangan, Keusahawanan dan Pemajuan Profesional (APEEC) dengan matlamat sebagai pusat rujukan transformasi komuniti, khususnya untuk pembangunan dan pemantapan pertanian, industri asas tani, dan sumber biologi di peringkat negara dan antarabangsa. - UPM 


WXEUKAt~