| Universiti Putra Malaysia

UCAPAN NAIB CANSELOR UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA, SEMPENA TAHUN BAHARU 2016


Mendepani Cabaran, Menggerak Transformasi

Bismillah-ir-Rahman-ir-Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Tahun Baharu kepada warga Universiti Putra Malaysia. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izin dan kurnia-Nya, kita masih diberi peluang meneruskan perjuangan dan meniti cabaran di tahun baharu ini.

Pepatah Melayu ada berkata, “membujur lalu melintang patah”. Dalam mendepani arus perubahan yang pesat, kita tidak harus gentar menghadapi rintangan yang mendatang. Saya berharap, semangat yang dibawa pepatah ini dapat dijadikan semangat juang yang kental oleh setiap warga UPM supaya tidak mudah berputus asa atau menyerah kalah. Dengan semangat ini, saya percaya kita dapat mempertingkatkan kedudukan UPM yang sudah pun mempunyai legasi tersendiri di pentas antarabangsa, ke tahap yang lebih tinggi.  Ini perlu dilakukan melalui peningkatan ketara usaha dan kualiti kerja semua warga UPM, dalam aspek urusan akademik, penyelidikan dan inovasi, hal ehwal pelajar, jaringan industri dan khidmat masyarakat, juga perkhidmatan UPM secara keseluruhannya.

Setiap tahun baharu membawa bersamanya satu permulaan yang baharu, juga azam dan harapan yang baharu.  Saya percaya, di permulaan tahun 2016 ini, kita semua menyemat azam untuk bekerja dan berusaha dengan lebih gigih agar dapat membuahkan hasil yang lebih baik daripada tahun lepas.  Untuk memastikan perubahan positif ini berlaku, sama ada sebagai seorang pendidik, penyelidik, pegawai ataupun pelajar, kita seharusnya memupuk sifat daya tahan (resilience) yang tinggi dan juga berpegang kepada integriti dan etika kerja yang tinggi. Sesungguhnya, sifat berdaya tahan, berintegriti dan beretika tinggi ini perlu dijadikan fitrah dan tradisi dalam diri kita untuk mendepani arus perubahan ekonomi dan sosial masa kini.  Kita tidak boleh berkompromi lagi dalam memelihara kualiti dan etika kerja. Inilah transformasi diri yang kita mesti capai dan kekalkan dalam menghadapi cabaran yang mendatang.

Tahun ini merupakan tahun ke-37 saya bersama UPM, jika dikira bermula sebagai Tutor. Tahun ini juga merupakan tahun ke-42 saya, jika dikira bermula sebagai pelajar Doktor Perubatan Veterinar.  UPM telah menjadi rumah kedua bagi saya, dan warga UPM adalah keluarga saya.  Dengan kepercayaan yang diberikan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh, khususnya, dan Kementerian Pendidikan Tinggi, amnya, melalui pelantikan saya sebagai Naib Canselor UPM yang kelapan, saya kini memegang satu amanah dan tanggungjawab yang besar untuk menjaga dan memimpin keluarga saya di UPM.  Insyaa Allah, saya akan beri yang terbaik. Sebagai satu keluarga besar, saya amat berharap agar kita sentiasa komited dan bekerja dengan lebih gigih lagi untuk mencapai cita-cita yang kita pegang bersama, iaitu untuk menjadikan UPM sebagai sebuah universiti penyelidikan bertaraf dunia (world class) yang lebih kompetitif.

Saya juga berharap seluruh warga UPM dapat berganding bahu bersama-sama saya dalam usaha kita untuk menjayakan Pelan Strategik UPM 2014-2020, yang bertemakan PUTRA GLOBAL 200 (PG200).  Pelan ini mendasari komitmen UPM untuk melonjakkan pencapaian kedudukan UPM dalam senarai 200 universiti terbaik di dunia melalui penilaian QS World University Rankings.

Usaha ke arah transformasi UPM ini amat penting demi mempertingkatkan satu legasi kecemerlangan yang telah dirakam dalam motto kita iaitu, “Berilmu Berbakti”.  Dengan menjadikan ilmu sebagai tunggak segala usaha dan amal kita, universiti akan dapat melaksanakan tujuan penubuhannya, iaitu untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat.  Sumbangan UPM pastinya akan berfokus kepada tiga aspek penting yang mendasari penubuhannya, iaitu “Pertanian, Inovasi, dan Kehidupan”.

Peranan UPM dalam menjana sumber modal insan kelas pertama dan memindahkan ilmu serta kepakaran kepada masyarakat, akan terus diperkukuhkan dalam lima matlamat utama Pelan Strategik UPM, iaitu Mempertingkatkan Kualiti dan Daya Saing Graduan, Menjanakan Nilai Melalui RDCE yang Mantap dan Lestari, Melonjakkan Perkhidmatan Jaringan Industri dan Masyarakat, Memperkasa UPM Sebagai Pusat Kecemerlangan Pertanian dan Mempertingkat Kualiti Tadbir Urus.

Ahli falsafah Yunani Aristotle pernah berkata, “to avoid criticism, say nothing, do nothing, be nothing”.  Dalam mendepani cabaran untuk menggerak transformasi ini, saya pasti kita akan mengharungi berbagai-bagai onak dan ranjau.  Kita sedia maklum sebagai sebuah institusi awam, kita amat terdedah kepada kritikan pelbagai pihak.  Oleh itu, kita harus berani menerima dan bersedia menangani kritikan, bukannya tidak berkata dan tidak berbuat apa-apa, kerana takut dikritik.  Kita harus mengambil setiap kritikan sebagai cabaran yang positif untuk kita melonjak lebih tinggi lagi dan memperbaiki usaha-usaha kita. 

Pada kesempatan ini, saya mewakili warga UPM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Profesor Dato’ Dr. Mohd Fauzi Hj. Ramlan kerana kepimpinan dan bakti yang dicurahkan beliau sebagai Naib Canselor UPM yang ketujuh, dengan berjaya mengekalkan kecemerlangan UPM. Saya juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua staf dan pelajar UPM yang telah menyumbang tenaga dan memberi komitmen secara berterusan dalam merealisasikan wawasan UPM untuk menjadi sebuah universiti yang bereputasi antarabangsa.

Akhir kata, bersamalah kita merafak doa untuk kecemerlangan UPM dan sekaligus melaksanakan tugas dengan penuh keinsafan dan keikhlasan, serta muhasabah diri, agar segala usaha kita mendapat keredaan, dipermudahkan segala urusan dan dirahmati Allah SWT. Semoga tahun 2016 ini, menyaksikan lonjakan transformasi UPM sebagai universiti penyelidikan bertaraf dunia yang terkemuka.

 Selamat Tahun Baharu 2016 dan Selamat Maju Jaya.

Sungguh riang anak Serdang
Mengayuh sampan sambil berdendang
Syair disebut nada terbilang
Di tahun baharu lebih gemilang…

PROFESOR DATIN PADUKA DR. AINI IDERIS
Naib Canselor
Universiti Putra Malaysia
15 Januari 2016


WXETHAf~