Tujuh SJKT Di Hulu Langat Ikuti Program Perintis SJKT Hijau Dengan UPM | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Tujuh SJKT di Hulu Langat ikuti Program Perintis SJKT Hijau dengan UPM

Tujuh SJKT di Hulu Langat ikuti Program Perintis SJKT Hijau dengan UPM

Oleh Sarva Mangala Praveena


SERDANG – Tujuh buah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) daerah Hulu Langat mengikuti Program Perintis SJKT Hijau pada April hingga Mei lalu untuk meningkatkan kesedaran program kitar semula berkonsepkan 3R (reduce, reuse and recycle) dan untuk mencetus petanda positif di kalangan kanak-kanak sekolah rendah terhadap budaya kitar semula.

Program Perintis SJKT Hijau itu dijalankan dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (Persatuan Transformasi Masyarakat Dan Industri Melalui Pendidikan Dan Penyelidikan).

Program dibiayai oleh Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India di bawah peruntukan khas Unit Khas Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC) yang diketuai Dr Sarva Mangala Praveena dari Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM.

Ia melibatkan 141 pelajar sekolah rendah dan 39 orang guru dari SJKT Semenyih, SJKT Ladang Dominion, SKJT Ladang Rinching, SJKT Bangi, SJKT Ladang West Country, SJKT Ampang dan SJKT Kajang bersama-sama lima pensyarah dan pelajar pra-siswazah Tahun Tiga dan Satu dari Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM.

Program itu sejajar dengan usaha kerajaan dalam menyasarkan peningkatan kadar kitar semula kepada 22 peratus menjelang 2020 dan menyokong dasar kerajaan yang mewajibkan Pengasingan Sisa Pepejal bermula 1 Jun 2016.



Fokus utama program adalah untuk mendedahkan pengetahuan mengenai barang-barang kitar semula dan konsep 3R. Ia memberi fokus dalam  mendidik pelajar cara mengasingkan barang kitar semula serta untuk mempraktikkan pengetahuan yang diperoleh terutama di kawasan sekolah dan rumah.

Bagi konsep 3R, fokus diberikan kepada usaha mengurangkan sampah botol plastik yang memerlukan kos pengurusan yang tinggi di tapak pelupusan.

Di dalam program 3R, penghasilan bekas pensil serta tabung diajar untuk memupuk daya kreativiti dan inovasi dalam menghasilkan produk dari sisa botol plastik.

Program itu memberi peluang kepada pelajar untuk mempraktikkan konsep latihan dalam bidang sains alam sekitar. Pelajar dan guru juga dapat mempraktik dan mengukuhkan pengetahuan yang diperoleh kepada masyarakat terutama di kalangan ahli keluarga, jiran dan di kawasan perumahan mereka.

Fasa seterusnya program itu adalah penempatan tong kitar semula di semua sekolah yang melibatkan kerjasama UPM dan Majlis Perbandaran Sepang. Kemudahan tong kitar semula dianggap sebagai faktor utama dalam kejayaan program kitar semula itu.

Program Perintis SJKT Hijau berharap penempatan tong kitar semula akan menjadi pemangkin bagi memulakan program kitar semula di sekolah secara konsisten yang mengaplikasikan konsep “Waste to Wealth” di mana pendapatan yang dijana dari program kitar semula dapat dimanfaatkan bagi aktiviti lain di sekolah.

Fasa ini juga sejajar dengan Pelan Induk Strategi Pengurusan Sisa Pepejal Kebangsaan bertujuan memastikan sisa pepejal diurus, dikurangkan dan dirawat secara lebih berkesan.

 


 


Kemaskini:: [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511284502