| Universiti Putra Malaysia

Tuanku Canselor seru UPM pacu kemajuan sektor pertanian negara

 

SERDANG 27 Okt - Tuanku Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu UPM menjadi peneraju dalam memanfaatkan artificial intelligence dan inovasi untuk memacu kemajuan sektor pertanian negara.

 

Baginda bertitah bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju dalam era industri 4.0, ia perlu bersaing bagi mendapatkan pasaran global serta memperdagangkan produk dan perkhidmatan luar negara.

 

“Beta berharap UPM menjadi peneraju dalam memanfaatkan artificial intelligence dan inovasi terutama dalam bidang pertanian dengan mengeluarkan sumber manusia yang berdaya maju, menghasilkan strategi yang boleh dilaksanakan secara efektif di Malaysia, bagi memacu kemajuan sektor pertanian negara,” titah baginda pada Majlis Konvokesyen ke-42 (2018) UPM, di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

 

Sehubungan itu baginda berharap para graduan akan dapat memikul amanah berkenaan dan meneruskan kecemerlangan di mana sahaja berada kerana sumber manusia atau bakat merupakan pengisian penting bagi merealisasikan hasrat tersebut.

Konvokesyen UPM kali ini merekodkan graduan sulung untuk lima program pengajian iaitu seorang graduan Sarjana Perubatan (Anestesiologi), lima graduan Sarjana Perubatan (Pediatrik), 12 graduan Sarjana Kejuruteraan Perisian, 14 graduan Sarjana Keselamatan Maklumat dan 21 graduan Sarjana Senibina.

 

Baginda turut gembira dengan ranking UPM pada 2018/2019 yang melonjak 27 anak tangga untuk tersenarai pada kedudukan ke-202 universiti terbaik dunia dalam penarafan  QS World University Rankings, sekaligus berada dalam kelompok 1% universiti terbaik di dunia.

 

Baginda bertitah semua pihak perlu memberikan sokongan padu bagi mencapai sasaran berada di kumpulan 200 universiti terbaik dunia menjelang tahun 2020.

Baginda juga berharap supaya graduan selain daripada memperolehi sijil akademik, akan turut membawa pulang nilai kesukarelawanan yang diterapkan sepanjang pengajian di UPM dan meneruskannya tanpa mengambilkira sama ada aktiviti itu berhubung kait atau tidak dengan pekerjaan seharian.

 

Sultan Sharafuddin juga berbangga dengan kejayaan UPM mengungguli hadiah utama Pengurusan Harta Intelek kategori organisasi peringkat kebangsaan pada 2018 dan kejayaan penyelidik dan Dekan Fakulti Perubatan Veterinar, Prof. Dr. Mohd Hair Bejo memenangi Anugerah Merdeka kategori kesihatan, sains dan teknologi.

 

Baginda turut mengucapkan tahniah kepada atlet UPM yang mengharumkan nama UPM dan negara di persada antarabangsa iaitu penerjun Cheong Jun Hoong dan Leong Mun Yee, serta atlet ragbi UPM juga menjadi penyumbang terbesar kepada pembentukan pasukan Ragbi universiti Malaysia. - UPM

SXDdEAV~