Timbalan Menteri MITI Lawat IPPH, UPM | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Timbalan Menteri MITI lawat IPPH, UPM

Timbalan Menteri MITI lawat IPPH, UPM

Oleh Syifarida Muhamad Zaki
Foto oleh Noor Azreen Awang



SERDANG, 6 Sept – Laboratori Perkhidmatan Halal, Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH), Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima kunjungan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ahmad Maslan untuk melawat fasiliti penyelidikan berkaitan halal hari ini.

Kunjungan itu sejajar usaha kerajaan memastikan pelaburan dan perdagangan berkaitan industri halal untuk menjadikan Malaysia sebagai hab halal antarabangsa.

Ahmad Maslan berkata Rancangan Pembangunan Industri Halal 2008-2020 adalah antara usaha kerajaan meningkatkan penyertaan Bumiputra dalam produk dan perkhidmatan halal.

“Program ini akan membantu meningkatkan penubuhan syarikat Bumiputera dalam inovasi, pengeluaran dan perdagangan produk dan perkhidmatan halal.

“Mana-mana produk halal serta ramuannya perlu melalui proses penyelidikan yang terbukti secara saintifik sebagai halal,” katanya.

Beliau berkata IPPH, UPM memainkan peranan penting dalam memberi tumpuan bukan sahaja kepada penyelidikan dan pembangunan produk halal tetapi juga berfungsi sebagai 'pusat sehenti' pelbagai aspek produk halal.



“Kami berharap dengan wujudnya kemudahan seperti ini dapat meningkatkan keyakinan pengguna dan penyertaan syarikat Bumiputera dalam industri halal meningkat antara 40 dan 60 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Pengarah IPPH, Prof. Dato' Dr. Mohd Yazid Abd Manap pula berkata Laboratori IPPH menyediakan pelbagai perkhidmatan yang kritikal di sepanjang rantaian bekalan makanan halal dan bagi produk bukan makanan seperti kosmetik dan kegunaan konsumer.

Katanya, perkhidmatan lain ialah perundingan dan latihan halal kepada agensi-agensi kerajaan, industri swasta dan orang awam.

Antara latihan yang ditawarkan ialah Kursus Penyembelihan Halal, Kursus Eksekutif Halal, Kursus Kesedaran Halal, Bengkel Analisis Halal:Profil Asid Amino & Alkohol, dan Bengkel Analisis Halal: Pengenalan Analisis DNA.

IPPH, UPM ditubuhkan pada 1 Jun 2006 manakala Laboratori Perkhidmatan Halal IPPH pada 2010 yang menggunakan peralatan dan kemudahan tekini seperti Liquid chromatography-mass spectrometry (LC/MS).

 


Kemaskini:: [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511157211