| Universiti Putra Malaysia

Tiga pelajar UPM wakili negara ke Olimpik Rio 2016


Oleh: Faten Syahira Syakrein
Foto: Marina Ismail

SERDANG, 21 Julai - Tiga pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang merupakan atlet negara dipilih untuk mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik Rio, Brazil 2016 dari 5 Ogos sehingga 21 Ogos ini.

Mereka ialah pelajar Bacelor Kejuruteraan (Aeroangkasa), Fakulti Kejuruteraan, Jonathan Wong Guanjie; pelajar Bacelor Pendidikan (Pendidikan Jasmani), Fakulti Pengajian Pendidikan, Zaidatul Husniah Zulkifli; dan pelajar Bacelor Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FMBK), Cheong Jun Hoong.

Jonathan Wong, 24, mewakili negara dalam acara menembak 10meter Air Pistol dan 50meter Pistol Lelaki; Zaidatul Husniah (olahraga 100 meter); dan Cheong (acara terjun).

Jonathan Wong, berkata pemilihan beliau ke Sukan Olimpik di Rio, Brazil adalah pencapaian di luar jangkaannya, dan beliau akan melakukan yang terbaik untuk cemerlang di persada sukan peringkat antarabangsa.

“Jika sebelum ini saya menjalankan latihan separuh masa sahaja, kini setelah dipilih mewakili negara ke sukan berprestij itu latihan saya digandakan untuk saya lebih fokus. Dalam satu hari saya berlatih selama lima hingga enam jam,” kata atlet kelahiran Melaka itu.

Zaidatul Husniah, 23, pula berkata pada awalnya beliau tidak meletak harapan terlalu tinggi untuk mewakili negara dalam acara 100 meter ke peringkat Olimpik kerana saingan adalah sengit.

“Saya perlu bersaing dengan rakan untuk melepasi masa 11.6s iaitu syarat kelayakan yang ditetapkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk ke peringkat Olimpik,” katanya.

Atlet kelahiran Alor Star, Kedah itu baru-baru ini memenangi pingat emas 100 meter di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2016 di Singapura.

Cheong, 26, yang berasal dari Ipoh, Perak pula akan menyertai acara terjun 3 meter Papan Anjal Berirama, 3 meter Papan Anjal Individu dan 10 meter Platform Berirama. - UPM

 

 


SXDdNA4~