| Universiti Putra Malaysia

Thohira Synbiotics bantu kurangkan kos ternakan, pertanian komuniti Orang Asli

Oleh: Hafliza Hussin

 

HULU LANGAT, 30 Nov – Komuniti Orang Asli merupakan masyarakat minoriti pribumi di Malaysia yang turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi di Malaysia terutamanya daripada segi pertanian dan perikanan. Melalui pembangunan yang direncanakan oleh kerajaan, masyarakat Orang Asli kini semakin terintegrasi ke dalam ekonomi yang bersifat nasional.

Sebagai usaha membantu meningkatkan lagi taraf ekonomi komuniti itu, sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof. Dr. Shuhaimi Mustafa dari Institut Penyelidikan Produk Halal mengadakan demonstrasi penggunaan teknologi UPM iaitu Thohira Synbiotic sempena Program Innovation Fun Day 2.0 di Perkampungan Orang Asli Sg. Gabai, di sini pada 30 Nov dan 1 Dis 2019.

Prof. Shuhaimi berkata, teknologi Thohira Synbiotics yang telah dilesenkan kepada syarikat Halways Sdn Bhd, sudah berada di pasaran melalui produk makanan ternakan industri akuakultur sejak Mac 2017.

Prof. Shuhaimi bersama kumpulan penyelidikannya berjaya menghasilkan teknologi berasaskan formulasi daripada sisa industri tempatan iaitu isirung kelapa sawit bersama mikrokapsul mikroorganisma dalam menghasilkan pelbagai enzim, protein serta metabolit berkemampuan untuk meningkatkan kandungan nutrisi dan prebiotik makanan ternakan sambil menggalak tumbesaran setanding produk komersial lain dengan kos yang lebih ekonomi.

Menurut En. Omar, pengusaha dan wakil komuniti Orang Asli Sungai Gabai, kolam penternakan ikan di situ menjadi salah satu punca pendapatan komuniti tersebut untuk menampung perbelanjaan keperluan harian.  

“Kami amat teruja kerana UPM sudi untuk mengadakan program bersama komuniti di sini bagi berkongsi pengetahuan dan teknologi yang dapat membantu meningkatkan ekonomi penduduk dengan mengurangkan kos bagi makanan ikan,” katanya.

Sesi demonstrasi itu merupakan satu daripada pengisian Program Innovation Fun Day 2.0 yang dilaksanakan oleh pelajar Kursus Kokurikumum Berkredit Inovasi dan Reka Cipta (QK1 2101) kumpulan 1.

Ketua Pegawai Eksekutif Halways Sdn. Bhd., Dr. Muhamad Akhmal Hakim turutmelatih komuniti Orang Asli mengenai teknik mengurangkan kos ternakan ikan menggunakan produk Thohira Synbiotics di samping menaja produk Thohira Synbiotic bernilai RM15,000 kepada komuniti Orang Asli di situ.

Program Innovation Fun Day 2.0 itu melibatkan 30 pelajar UPM dari Kursus Kokurikulum Berkredit Inovasi dan Reka Cipta dan dipantau oleh fasilitator kursus, Hafliza Hussin, Ia juga bertujuan melahirkan pelajar yang berfikiran kreatif dan kritis dalam menerajui penciptaan inovasi sosial bagi membentuk kemahiran insaniah melalui penganjuran program bersama komuniti bagi meningkatkan kesejahteraan golongan sasar.

Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Putra Science Park UPM, Sahabat Masjid UPM dan UPM Cycling Club. - UPM

 

 

SXEUBAn~