| Universiti Putra Malaysia

Teruskan belajar, ijazah yang dimiliki belum memadai: Tan Sri Mohd Bakke

Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Marina Ismail


SERDANG, 1 Nov - Pro-Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Tan Sri Mohd Bakke Salleh mengingatkan graduan supaya sentiasa belajar dengan memberi penekanan kepada pembelajaran sepanjang hayat untuk menjadi lebih cemerlang.

“Memperoleh pekerjaan tidak bermakna proses pembelajaran berhenti. Jangan ingat dengan ijazah yang dimiliki pada hari ini sudah memadai kerana ia bukan tiket untuk berjaya dan kelangsungan hidup dalam dunia mencabar.

“Teruskan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran diri serta menjadikan kejayaan pada hari ini sebagai landasan untuk menyumbang secara lebih bermakna kepada pembentukan masyarakat dan pembinaan tamadun manusia yang lebih berkualiti, berintegriti dan sinergi dengan alam persekitaran,” katanya ketika berucap pada sesi keempat Majlis Konvokesyen ke-39 UPM, di sini.

Beliau menyampaikan ijazah dan diploma kepada 897 graduan pada sesi itu. Majlis Konvokesyen UPM itu berlansung dari 31 Oktober hingga 3 November dengan seramai 7,056 graduan menerima ijazah dan diploma.

Tan Sri Mohd Bakke berkata suatu realiti yang perlu disedari ialah kelayakan akademik bukan satu jaminan untuk berjaya dalam kerjaya kerana ramai usahawan atau ahli korporat yang berjaya walaupun tidak memiliki latar belakang akademik yang tinggi, seperti Bill Gates. Namun katanya, mereka ini mempunyai kelebihan yang membezakan mereka daripada kelompok generasi mereka, antaranya sikap, minat dan pandangan terhadap perkara yang diusahakan.

Katanya, mereka berfikiran terbuka, positif dan yakin mengenai kebolehan mereka dan mempunyai matlamat yang jelas dalam hidup. “Justeru, dengan kelebihan akademik yang dimiliki, serta sentiasa berfikiran terbuka, positif dan tidak memilih pekerjaan, para graduan sebenarnya berupaya untuk menguasai dan menerajui pasaran kerjaya dengan lebih berjaya,” katanya.

Beliau juga berkatan para graduan perlu mempunyai kemahiran bahasa Inggeris, iaitu keperluan asas yang perlu dimiliki kerana penggunaan bahasa itu tidak boleh dielak kerana ia bahasa antarabangsa.

“Malah sekiranya anda bekerja dalam sektor awam sekalipun, kemahiran berbahasa Inggeris akan turut memberikan anda kelebihan dalam berurusan dengan pihak luar agensi masing-masing,” katanya sambil menambah bahawa ini tidak bermakna Bahasa Malaysia boleh diketepikan.

Beliau juga berkata para graduan merupakan duta UPM, dan oleh itu diharap akan mengharumkan nama UPM di persada dunia. - UPM

SXEYIAO~