| Universiti Putra Malaysia

Terpaksa tolak jadi pengacara Forum Perdana Ehwal Islam demi pelajaran”

Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Mohd Hasrul Hamdan



SERDANG,  25 Okt: Bertugas di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), menjadi pengacara rancangan bual bicara di televisyen dan pada masa yang sama mengikuti pengajian di universiti, merupakan cabaran besar tetapi dilalui dengan jayanya oleh Mohd Hariri Mohamad Daud.

Mohd Hariri, 32, yang merupakan pengacara Forum Perdana Ehwal Islam TV1 yang  mesra dengan panggilan ustaz memperoleh Master Pembangunan Sumber Manusia pada Majlis Konvokesyen ke-40 Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Saya mengulangi pelajaran dan membuat tugasan (assignment) pada awal pagi sebelum subuh… memang agak berat apabila perlu melaksanakan tiga tanggungjawab dalam satu masa tetapi alhamdulillah saya dapat menamatkan pengajian,” katanya yang bertugas sebagai Penolong Pengarah (Unit Indeks Syariah), JAKIM, Putrajaya.

Anak kedua daripada lima beradik ini ada kalanya terpaksa menolak daripada menjadi pengacara program bual bicara itu jika waktu program siaran langsung itu bertembung dengan kuliah atau jika program itu diadakan di luar Lembah Klang.

“Keutamaan saya ketika itu ialah bekerja dan belajar, saya perlu membahagi masa sebaik mungkin… sebab itu ada ketikanya terpaksa menolak daripada menjadi pengacara program Forum Perdana Ehwal Islam,” katanya.

Pada peringkat ijazah, beliau mengikuti pengajian dakwah di sebuah universiti awam lain tetapi menyambung pengajian Master dalam bidang Pembangunan Sumber Manusia di UPM.

Katanya, beliau mengikuti pengajian dalam pembangungan sumber manusia kerana JAKIM kini member tumpuan kepada lapan bidang termasuk pembangunan dan latihan. 

“Pada hari-hari pertama menghadiri kuliah, saya seperti mahu ‘menyembunyikan’ identiti sebagai pengacara tetapi ada rakan sekuliah dan pensyarah yang menyatakan mereka seperti pernah melihat saya sebelum itu..

“Yang kurang menariknya apabila mereka mengetahui latar belakang saya itu, pastinya mereka meletak harapan tinggi (high expectation) terhadap saya,” katanya yang melahirkan kesyukuran kerana rakan-rakan serta pensyarah banyak membantu meskipun bidang pembangunan sumber manusia adalah baharu baginya.

Beliau mula bertugas di JAKIM pada 2010 dan pada tahun yang sama mula terbabit sebagai pengacara ketika RTM mencari bakat baharu pengacara. Beliau juga adalah pengacara Majlis Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa sejak 2010 sehingga kini.

“Saya amat teruja menjadi pengacara Forum Perdana Ehwal Islam, program bual bicara yang paling lama bertahan di RTM sehingga kini dan mempunyai rating paling tinggi di RTM… dulu semasa kecil saya jadi penonton, tapi apabila dewasa saya menjadi pengemudinya,” katanya. - UPM 


WXDcTAZ~