Tengku Permaisuri Norashikin Masyhurkan Nama Orkid Vanilla Norashikiniana | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Tengku Permaisuri Norashikin masyhurkan nama Orkid Vanilla Norashikiniana

Tengku Permaisuri Norashikin masyhurkan nama Orkid Vanilla Norashikiniana

Oleh Azman Zakara

Foto Noor Azreen Awang

SERDANG, 3 Nov - Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenaan merasmikan Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen ke-41 Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.

Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenaan memasyhurkan nama Bunga Orkid  Vanilla Norashikiniana, pada majlis itu yang diadakan di Bukit Ekspo, UPM di sini.

Spesis orkid baharu ini ditemui tidak berbunga pada tahun 2013 di sebuah Hutan Simpan di Semenanjung Malaysia semasa ekspedisi botani oleh sekumpulan saintis botani UPM bersama Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS).

Orkid ini ditanam di nurseri UPM dan mula berbunga pada November 2014. Penyelidik mengambil masa hampir tiga tahun untuk mengesahkan penemuan spesis baharu itu. Ia telah disahkan oleh pihak berkuasa yang berkenaan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Memandangkan spesis itu mempunyai tempoh bunga mekar yang lama, berbunga dengan lebat dan mempunyai kecantikan yang tersendiri, maka UPM dan JPNS telah memohon pekenan untuk menamakannya dengan nama Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor iaitu Vanilla Norashikiniana, yang dimasyhurkan secara rasmi hari ini.

Tengku Permaisuri Norashikin kemudian melawat gerai-gerai Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen.

Naib Canselor UPM. Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata UPM dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia menghasilkan banyak penemuan orkid spesis liar yang baharu.

“Penemuan ini merupakan pencapaian penting dalam penerokaan kekayaan biodiversiti yang tidak dikenali umum” katanya.

Beliau juga berkata Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen itu bertujuan memberi peluang kepada semua Pusat Tanggungjawab di UPM untuk mengambil bahagian memeriahkan sambutan konvokesyen, di samping menyampaikan maklumat dan mempamerkan aktiviti pengajaran, penyelidikan serta inovasi mereka.

Eskpo selama lima hari itu mengetengahkan pameran dan aktiviti berteraskan pertanian seperti jualan hasil pertanian dan produk hiliran, termasuk jualan 2,000 orkid serta jualan anak benih pokok buah-buahan dan hiasan. - UPM

 

Tarikh Input: 04/11/2017 | Kemaskini: 05/11/2017 | syifarida

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1537843579