| Universiti Putra Malaysia

Tengku Permaisuri Norashikin berkenan rasmi Ekspedisi Saintifik Biodiversiti DiRaja Taman Negeri Selangor Bukit Fraser, Daerah Hulu Selangor

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto oleh: Marina Ismail

RAWANG, 26 Ogos – Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan hadir merasmikan Ekspedisi Saintifik Biodiversiti DiRaja Taman Negeri Selangor Bukit Fraser, Daerah Hulu Selangor, Selangor.

Baginda akan melancarkan buku dari Universiti Putra Malaysia (UPM) “Enchanted Orchids of Fraser’s Hill” oleh Prof. Dr. Rusea Go (UPM), Dr. Farah Alia Nordin (USM) dan Dato’ Dr. Mohd Puat Dahalan (JPNS), buku “Wonders of Malaysian Orchids: Unveiling Vanilla norashikiniana” oleh Prof. Dr. Rusea Go (UPM) dan Dr. Mohd. Akmal Raffi (UMT), dan buku dari Taman Eko Rimba (TER) Komanwel “Reflections 25 Years of the Commonwealth Eco Forest Park” oleh Puan Sharifah Norizan Syed Isa.

Wakil Dato’ Menteri Besar Selangor, Tuan Hee Loy Sian menyampaikan sembah ucapan beliau pada majlis tersebut. Turut hadir, Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris; Pengarah Perhutanan Negeri Selangor, Dato’ Dr. Haji Mohd Puat Dahalan; Pemangku Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato’ Mohd Ridza Awang dan Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Gombak, Tan Sri Dato’ Paduka Raja Dato’ Hj. Wan Mahmood Pa’wan Teh.

Program Ekspedisi DiRaja yang julung kali diadakan di Negeri Selangor itu bertujuan mengumpul, mendokumentasikan serta menjalankan kajian saintifik ke atas kepelbagaian orkid, tumbuhan ornamental dan tumbuhan ubatan yang terdapat di Bukit Fraser dan Hulu Selangor.

Program itu disertai oleh 40  penyelidik dari seluruh Malaysia diketuai oleh Prof. Rusea Go yang berkepakaran dalam bidang penyelidikan orkid. Program selama lima hari itu bermula 26 Ogos hingga 30 Ogos 2019 dalam kawasan Taman Negeri Selangor Bukit Fraser.

Data-data yang diperoleh akan dapat membantu dalam penyelidikan universiti, pengajaran, pembelajaran, perundingan serta mempertingkatkan kerjasama antara UPM dengan pihak komuniti dan Jabatan Perhutanan dalam pemeliharaan sumber-sumber khazanah alam semula jadi di kawasan hutan tersebut.

Pokok orkid vanilla norashikiniana ditanam di Chenta Anggerik, Taman Eko Rimba Komanwel dan di Taman Konservasi Orkid Liar Tengku Permaisuri Norashikin, Fraser’s Hill.

Taman itu akan menjadi pusat konservasi orkid liar dari kawasan pergunungan di Malaysia serta tempat pengembangan penyelidikan orkid yang akan dibangunkan dengan kerjasama pakar dari UPM dan penyelidik seluruh Malaysia dan antarabangsa.

Sebelum itu, Tengku Permaisuri Norashikin berkenaan memasyhurkan nama Bunga Orkid vanilla norashikiniana, pada 3 November 2017 yang diadakan di Bukit Ekspo, UPM

Spesis orkid baharu itu ditemui tidak berbunga pada tahun 2013 di sebuah Hutan Simpan di Semenanjung Malaysia semasa ekspedisi botani oleh sekumpulan saintis botani UPM bersama Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS).

Pokok orkid vanilla norashikiniana, kemudian ditanam di nurseri UPM dan mula berbunga pada November 2014. Penyelidik mengambil masa hampir tiga tahun untuk mengesahkan penemuan spesis baharu itu.

Sementara itu, Taman Eko Rimba (TER) Komanwel ditubuhkan bersempena dengan Commonwealth Forest Conference pada tahun 1993 dan mempunyai nilai sejarah yang amat unik kerana ia melambangkan komitmen serta keupayaan negara dalam memelihara hutan. - UPM

SXDdDAz~