| Universiti Putra Malaysia

Temasya Budaya Warisan Melayu dekatkan pelajar dengan budaya Melayu

Oleh Alex Ardiansyah

SERDANG, 3 Dis - Kira-kira 600 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) melibatkan 15 kelas kursus kokurikulum berkredit kumpulan Batik Canting, Caklempong, Pengurusan Pentas, Seni Tari Melayu, Muzik Kompang, Bakti Siswa, Vokal Asas dan Gordang Sembilan menyertai program Temasya Budaya Warisan Melayu 2017.

Lebih 100 peserta mencanting batik termasuk 30 orang pelajar antarbangsa antaranya Korea Selatan, Syria, Pakistan, Mesir, Bangladesh, China, Indonesia, Jordan, Somalia dan Arab Saudi, turut menyertai sukan rakyat pada program itu bagi mengenali budaya Melayu dengan lebih dekat.

Program yang diadakan dua hari di Muzium Warisan UPM itu bertujuan memperkenal dan memperkasa budaya warisan Melayu dalam kalangan masyarakat. Ia turut diserikan dengan gerai jualan, pertandingan nyanyian irama warisan dan pameran.

Presiden Pertubuhan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam ketika menutup program itu memuji penglibatan pelajar antarabangsa dalam program berkenaan kerana melaluinya budaya warisan negara ini dikenali oleh orang dari luar Malaysia.

Beliau berharap program itu dijadikan acara tahunan.

Turut hadir pada majlis penutup itu ialah Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, Prof. Dr. Abdul Mua'ti @ Zamri Ahmad; Pengerusi Jemaah Pengetua Kolej-Kolej Kediaman UPM, Prof. Dr. Sidek Abdul Aziz mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, serta Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, Prof. Madya Dr. M. Paramasivam.

Program itu telah dirasmikan oleh Prof. Dr. Abdul Mua'ti. - UPM

SXESXAe~