| Universiti Putra Malaysia

Teknologi pemotongan V-Grooving bakal pacu industri buluh Malaysia


SERDANG, 14 Ogos – Permintaan buluh daripada industri perkayuan untuk menggantikan kayu mendorong sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) mencipta kaedah pemotongan buluh secara V-Grooving.

Teknologi itu yang merupakan pertama kali diperkenalkan di dunia merupakan kaedah baru pemotongan bagi meratakan permukaan buluh untuk dijadikan pelbagai bahan lain seperti papan, lantai dan pengganti bahan industri yang berasaskan kayu.

Penyelidik di Fakulti Perhutanan UPM, Prof. Madya Dr. Edi Suhaimi Bakar berkata penghasilan buluh berlaminasi (PBL) menerusi kaedah pemotongan V-Grooving merupakan kaedah yang lebih praktikal bagi meratakan permukaan buluh berbanding kaedah sedia ada.

“V-Grooving memotong alur berbentuk V di sebelah luar batang buluh menggunakan mesin khas. Setiap alur akan mempunyai “grooving cease” setinggi 1 mm bagi mengekalkan segmen buluh sentiasa bersambung dan bertindak sebagai engsel semasa diratakan.



“Fungsi engsel adalah memindahkan kuasa menegak menjadi kuasa sisi bagi memastikan semua alur dapat ditutup ketat untuk menghasilkan kepingan rata.

“Seterusnya, alur terakhir akan dipotong hingga putus dan digamkan pada alur yang lain sebelum buluh diratakan dengan mesin penekan,” katanya pada sidang media Putra Cipta di sini.

Dr. Edi berkata buluh yang sudah rata dapat diketam licin pada satu atau kedua-dua permukaan untuk digunakan bagi pembuatan PBL atau pelbagai papan dekoratif yang lain.



Manfaat

“Berbanding kaedah pemotongan splitting-squaring  seperti yang diamalkan sekarang, kaedah V-Grooving lebih mudah, cepat dan ringkas. Proses membentuk PBL turut menjadi singkat sekali ganda berbanding proses lama.

“Selain itu, kos pengeluaran dan bahan mentah dapat dijimatkan serta produk yang dihasilkan lebih berkualiti.

“Mesin V-Grooving boleh diketengahkan kepada usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dan dapat memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar menjana pendapatan baru,” ujar beliau.

Kelebihan

“Kekurangan bahan mentah kayu menyebabkan industri kayu di Malaysia sedikit terjejas. Buluh dilihat sebagai pilihan terbaik bagi memastikan bekalan kayu cukup dan sentiasa berada pada aras harga yang kompetitif di pasaran.

“Kadar pertumbuhan buluh juga lebih cepat iaitu empat tahun bagi mencapai tahap matang berbanding pokok kayu lain yang memakan masa sehingga setengah abad.

“Berdasarkan kajian, bilah buluh mempunyai nilai anjalan yang lebih tinggi berbanding kayu meranti atau jati dan ini menyebabkan ianya sesuai untuk dijadikan asas dalam bahan binaan,” katanya lagi.



Komersil

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd Saleh Jaafar berkata industri buluh di Malaysia sedang berkembang pesat disebabkan faktor kelebihan buluh berbanding kayu biasa.

“Buluh mempunyai daya tahan (durability) yang lebih tinggi berbanding kayu jenis lain. Ini memberikan nilai pasaran kepada tumbuhan itu. Pembangunan teknologi seperti ini turut memberikan nilai tambah kepada penghasilan produk berasaskan buluh.

“UPM masih dalam proses perbincangan dengan syarikat yang terlibat secara langsung dengan industri berasaskan buluh ini. Ada syarikat yang menaruh minat dan kita merancang untuk memasarkan produk ini pada tahun ini juga,” katanya.

Turut hadir pada sidang media Putra Cipta ialah Dekan Fakulti Perhutanan, Prof. Datin Dr. Faridah Hanum Ibrahim.

Pengiktirafan

Hasil kajian Dr. Edi bersama kumpulannya yang bermula pada 2007 mendapat pengiktarafan dengan memenangi pingat emas di Pameran Rekacipta Penyelidikan dan Inovasi (PRPI) 2012 yang lalu.

Penyelidik lain yang terlibat ialah Prof. Madya Dr. Zaidon Ashaari, Prof. Madya Mohd Zin Jusoh, dan seorang pelajar siswazah Dzafarin Saharani.

Berita disediakan oleh Muhamad Najkhan Mazlan, 03-8946 6011 dan foto oleh Noor Azreen Awang, 03-89466189


SXEXQA5~