| Universiti Putra Malaysia

Tekad bantu ibu jadi azimat kejayaan dua pelajar cemerlang UPM

Oleh Azman Zakaria

Foto Marina Ismail dan Noor Azreen Awang

 

SERDANG, 4 Nov - Ketiadaan belaian kasih sayang daripada bapa sejak dari bangku sekolah menengah tidak menghalang dua pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Khairuddin Akmal Mohamad Kamal dan Nurul Ain Ismail, mencapai kejayaan cemerlang dalam akademik dan memenangi anugerah sempena Majlis Konvokesyen UPM 2017.

Khairuddin Akmal yang mengikuti program Bacelor Sains Pertanian, Fakulti Pertanian menerima anugerah Pingat Emas Canselor, manakala Nurul Ain yang mengikuti program Bacelor Pendidikan (Pengajaran Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Pertama), Fakulti Pengajian Pendidikan menerima Anugerah Pelajaran Diraja (kategori Bumiputera).

Anugerah Pelajaran Diraja (kategori Bukan Bumiputera) diterima oleh Eow Shiang Yen yang mengikuti program bachelor Sains (Pemakanan dan Kesihatan Komuniti), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan.

Mereka masing-masing menerima pingat emas, sijil dan RM5,000 dari Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Tuanku Canselor UPM pada Majlis Konvokesyen ke-41 UPM hari ini. Selain mereka, lapan lagi pelajar juga menerima anugerah dari Tuanku Canselor.

Khairuddin Akmal, dari Kuantan, Pahang berkata beliau berasa sebak dan terharu ketika diberitahu oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) bahawa beliau menerima anugerah itu.

“Pingat ini begitu besar maknanya… ia hadiah untuk ibu. Kekurangan dalam kehidupan tanpa bersama bapa sejak saya berusia 15 tahun, saya jadikannya sebagai kekuatan untuk saya berjaya dalam akademik demi ibu yang banyak berkorban.

“Ibulah yang menjadi emak dan bapa kepada kami adik beradik,” kata anak keenam daripada tujuh beradik itu.

Menurutnya, bapanya berpisah dengan ibunya ketika beliau berusia 15 tahun, dan kos persekolahannya ditanggung oleh ibunya serta ahli keluarganya yang lain.

“Pengorbanan ibu itulah yang mendorong saya untuk belajar bersungguh-sungguh…  saya nak balas jasa ibu,” katanya yang juga aktif dalam bola sepak dengan mewakili UPM dalam Liga IPT 2017.

Nurul Ain pula berkata, beliau terus melakukan sujud syukur sebaik sahaja BHEP menghubungi memaklumkan beliau menerima anugerah itu.

“Rasa sangat bersyukur… tak sangka dapat anugerah sebab ramai yang cemerlang,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu yang berasal dari Kulai, Johor.

Beliau berkata, bapanya meninggal dunia ketika beliau berusia 14 tahun dan sejak itu semua urusan keluarga termasuk persekolahan adik beradik dilakukan oleh ibu.

Katanya, ibunya bekerja di kilang dan sehingga kini masih bekerja untuk menyara keluarga dan dua adiknya yang masih bersekolah.

“Keadaan kehidupan keluarga saya inilah saya jadikan azimat dan pembakar semangat untuk saya belajar bersungguh-sungguh. Saya hendak membantu ibu dan membantu adik-adik,” katanya

Shinag Yen pula berkata, beliau tidak menjangka menerima anugerah itu dan percaya pemilihan bukan saja berdasarkan pencapaian akademik tetapi juga mengambilkira pembabitan dalam aktiviti kokurikulum.

Anak kedua daripada dua beradik berasal dari Kepong Kula Lumpur itu melahirkan penghargaan kepada pensyarah, staf fakulti serta rakan-rakan yang sentiasa memberi tunjuk ajar dan sokongan. - UPM

SXEUDAR~