Tan Sri Prof. Emeritus Anuwar Ali Dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah UPM | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Tan Sri Prof. Emeritus Anuwar Ali dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah UPM

Tan Sri Prof. Emeritus Anuwar Ali dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah UPM

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh

SERDANG, 1 Ogos - Tan Sri Prof. Emeritus Anuwar Ali dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM) mulai 1 Ogos 2017 hingga 31 Julai 2020.

Pelantikan beliau telah diperakukan oleh Menteri Pendidikan Tinggi dalam surat yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir.

Tan Sri Anuwar menggantikan pengerusi terdahulu, Tan Sri Dato’ Prof. Emeritus Dr. Syed Jalaluddin Syed Salim yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 31 Julai 2017. Tan Sri Syed Jalaluddin telah memegang jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah UPM selama empat tahun sejak tahun 2013.

 

Tan Sri Prof. Emeritus Anuwar Ali, Pengerusi Lembaga Pengarah UPM mulai 1 Ogos 2017 hingga 31 Julai 2020.Tan Sri Prof. Emeritus Anuwar Ali,  Pengerusi Lembaga Pengarah UPM mulai 1 Ogos 2017 hingga 31 Julai 2020

 

Tan Sri Anuwar kini merupakan Penasihat Kanan di Open University Malaysia (OUM) pada 1 Januari 2016 setelah beliau berkhidmat sebagai Presiden/Naib Canselor di universiti tersebut selama 12 tahun.

 Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata warga UPM mengalu-alukan pelantikan tersebut dan yakin Tan Sri Anuwar mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik demi kecemerlangan UPM di persada nasional dan antarabangsa.

 “Mewakili warga universiti, kami juga merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih tidak terhingga kepada Tan Sri Syed Jalaluddin yang telah banyak menyumbang bakti dan fikiran yang bernas demi kecemerlangan UPM yang dinikmati selama ini,” kata Prof. Aini.

 Tan Sri Anuwar memulakan perkhidmatannya pada tahun 1973 sebagai tutor di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), beliau bukan sahaja sebagai ahli ekonomi (dalam bidang perancangan industri dan pembangunan sumber manusia) tetapi juga sebagai pemimpin di bidang akademik.

 Beliau merupakan ahli akademik pertama dilantik sebagai Pengarah, Bahagian Pendidikan Tinggi di Kementerian Pendidikan Malaysia dari tahun 1996 hingga 1998. Sebelum itu, beliau merupakan Dekan di Fakulti Ekonomi UKM dan kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik).

Sebelum menyertai UKM, Tan Sri Anuwar merupakan Penolong Pengarah di Kementerian Perdagangan dan Industri dari tahun 1970 hingga 1973.

Antara jawatan yang beliau pegang kini termasuk selaku Pengerusi, Panel Penasihat Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Ahli Jawatankuasa Nasional Pembelajaran Sepanjang Hayat, Ahli Lembaga Gaji Minimum Negara, Pengerusi, Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara dan Ahli Lembaga Pendidikan Tinggi Negara.

Beliau juga mempunyai pengalaman sebagai Pengerusi, Southeast Asian Open Learning Centre (SEAMOLEC), yang berpengkalan di Jakarta; Ahli Griffith Asia Pacific Council (GAPC) Griffith University, Australia; Ahli Lembaga Persatuan Institut Pengajian Tinggi Asia Tenggara (ASAIHL); Pengerusi, Lembaga Peperiksaan Malaysia; Ahli Lembaga Bank Pembangunan Malaysia (Malaysia Development Bank); Ahli Suruhanjaya Sekuriti  Malaysia; Ahli Lembaga INTI University College dan International Medical University (IMU); Ahli Lembaga SIRIM Training Services Sdn Bhd; Ahli Lembaga Capital Market Development Fund (CMDF); Felo Pelawat, Institut Strategik dan Pengajian Antarabangsa, Malaysia; and Ahli Jawatankuasa Eksekutif Asian Association of Open Universities (AAOU).

Beliau pernah dilantik sebagai Perunding Ekonomi bagi beberapa projek di peringkat nasional dan antarabangsa, termasuk sebagai Perunding UNIDO bagi Pelan Induk Industri, Malaysia  (1986-1995); Perunding UNIDO bagi Pembangunan Industri di Bhutan (1990-1991); Perunding bagi Pelan Tindakan, Pembangunan Teknologi, Malaysia dan  Perunding bagi Pelan Tindakan, Industri Kecil dan Sederhana, Malaysia.

 

 

 

Kemaskini:: 14/09/2017 [syifarida]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1506248227