Tan Sri Mohd Bakke Kongsi Pengalaman Korporat Dengan Warga UPM Bintulu | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Tan Sri Mohd Bakke kongsi pengalaman korporat dengan warga UPM Bintulu

Tan Sri Mohd Bakke kongsi pengalaman korporat dengan warga UPM Bintulu

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh



BINTULU, 10 Okt - Pro Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) yang juga Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad, Tan Sri Mohd Bakke Saleh berkongsi pengalaman dan pengetahuan korporat kepada pelajar dan staf UPM Kampus Bintulu di sini hari ini.

Syarahan itu dianjurkan oleh Pusat Hubungan dan Jaringan Industri (CiRNeT), UPM di Dewan Sri Kenyalang, Fakulti Sains Pertanian dan Makanan, UPM Kampus Bintulu sempena siri CEO@Faculty Programme.

Tan Sri Bakke berkongsi pengalaman beliau dari kedua-dua perspektif peribadi dan profesional dengan pelajar-pelajar UPMKB terutama usaha Sime Darby sebagai syarikat perladangan dalam menyumbang kepada negara dan pentingnya pengajian pertanian itu yang akan berterusan dalam kelangsungan hidup manusia.

Beliau sebagai tokoh korporat menasihatkan pelajar-pelajar supaya sentiasa bersikap rendah diri dan jangan membiarkan pengaruh gaji, jawatan atau kebendaan menjejaskan nilai kesederhanaan.

Antara nasihat beliau ialah pekerja haruslah fokus kepada keputusan dalam setiap perkara yang dilaksanakan. Jangan sentiasa memberi alasan dalam setiap kerja yang diberi atau menyalahkan orang lain, sentiasa bersikap inovatif dalam penghasilan berimpak tinggi.

Program itu dijalankan berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) (PPM (PT) bagi meningkatkan atribut pelajar dalam melahirkan graduan yang mempunyai ciri keusahawanan, holistik dan seimbang menerusi pembabitan industri.

Melalui program CEO@Faculty Programme itu, UPM menerima pelantikan CEO untuk tahun 2016/2017 iaitu, Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Tan Sri Mohd Bakke Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tony Fernandes dan Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Plantation Berhad, Fahmy Ismail.

Terdahulu, Tony Fernandes telah berkongi pengalamannya menerusi program yang sama di UPM, Serdang pada 19 April lalu.

Tugas CEO yang dilantik untuk program itu adalah untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan berkaitan dunia korporat bersama pelajar dan kakitangan UPM.

Selain itu, mereka akan membentuk dan membimbing pelajar UPM untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan serta pembangunan sahsiah secara holistik.

Turut hadir ialah Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris, Ahli Lembaga Pengarah Universiti UPM, Datuk Mohidden Ishak, Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur merangkap Menteri Muda Pembangunan Bandar Sarawak, Datuk Talib Zulpilip dan Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Bintulu, Zaiedy Nor.

Pada akhir majlis, Tan Sri Mohd Bakke menanam pokok Belian (Lauraceae) di perkarangan Dewan Sri Kenyalang di sini.


Kemaskini:: [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1506112856