| Universiti Putra Malaysia

Syed Mohamad Syafiq, Zaidatul Husniah dinobat Olahragawan, Olahragawati UPM 2018

Oleh Ayunie Inanie Arzmi

Foto Marina Ismail

 

BANGI, 7 Mei – Pemain hoki, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, dan atlet olahraga Zaidatul Husniah Zulkifli masing-masing dilipih sebagai Olahragawan dan Olahragawati UPM 2018.

Syed Mohamad Syafiq menerima wang tunai RM3000, piala iringan dan jam tangan manakala Zaidatul Husniah menerima wang tunai RM3000, piala iringan dan jam tangan yang disampaikan oleh Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris pada Majlis Anugerah Sukan UPM 2018 ke-35.

Muhammad Shaiffuddin Mohd Kamro dan Nur Aliya Ghapar, kedua-dua dari pasukan memanah pula memenangi Anugerah Bintang Harapan Lelaki dan Bintang Harapan Perempuan.

Ahmad Sufi Mohamad Hashim dari sukan sepak takraw dipilih sebagai jurulatih cemerlang, manakala Muhamad Zyuraidi Abd Majid dari sukan ragbi sebagai pengurus cemerlang. Pasukan cemerlang pula ialah menembak.

Seramai 163 atlet pula menerima Anugerah Emas, 53 atlet menerima Anugerah Perak, 22 atlet menerima Setia Bakti dan 10 orang menerima Anugerah Khas, pada majlis berkenaan.

Majlis itu adalah sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada mereka yang mengharumkan nama UPM dalam sukan sepanjang 2018, termasuk di peringkat antarabangsa seperti Sukan Asia Jakarta-Palembang, Indonesia; Sukan Komanwel di Australia dan Kejohanan Sukan Universiti ASEAN di Myanmar.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris berkata, kejayaan yang dicapai pada 2018 diharap menjadi pembakar semangat kepada pengurus dan jurulatih pasukan serta atlet untuk terus berusaha dengan gigih dalam sukan yang diceburi.

Katanya, Pusat Sukan menjalankan pelbagai program dan latihan dalam memastikan prestasi atlet mencapai tahap yang diinginkan ketika menyertai kejohanan. - UPM

SXDdJA~