| Universiti Putra Malaysia

Sultan Selangor sampaikan anugerah kepada 18 warga UPM yang cemerlang



Oleh: Azman Zakaria
Foto: Noor Azreen Awang


SERDANG, 5 Mei -  Seramai 18 warga Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mempamerkan kecemerlangan prestasi, potensi dan bakti menerima anugerah Fellowship Naib Canselor yang disampaikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Canselor UPM, pada Majlis Gemilang Akademia Putra (MGAP) 2015, di sini.

MGAP adalah penghargaan dan pengiktirafan universiti terhadap warganya atas usaha penerokaan dan pengembangan ilmu serta perkhidmatan pendidikan bagi menjulang pembudayaan ilmu yang cemerlang.

Tahun ini juga menyaksikan pemberian Anugerah Khas Akademia Putra kepada individu yang memberi sumbangan kepada kemajuan ilmu dan bidang kepakaran sejajar dengan visi dan misi UPM. Penerima anugerah itu ialah Y.M. Prof. Dr. Tengku Aizan Tengku Abdul Hamid dari Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia/Fakulti Ekologi Manusia.

Empat orang menerima Anugerah Fellowship Naib Canselor - Pengajaran. Mereka ialah Dr. Maria Chong Abdullah dari Fakulti Pengajian Pendidikan (Kategori Pengajar Cemerlang);  Dr. Gayathri Thevi Selvarajah dari Fakulti Perubatan Veterinar (Kategori Pengajar Muda, Kluster Sains Tulen dan Kesihatan); Dr. Salmah Jan Noor Muhammad dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (KategoriPengajar Muda, Kluster Sastera dan Sains Sosial); dan Dr Rahimah Jamaluddin dari Fakulti Pengajian Pendidikan (Kategori Pengajar Muda, Kluster Sastera Gunaan dan Sains Sosial Gunaan).

Lapan orang menerima Anugerah Fellowship Naib Canselor - Penyelidikan dan Inovasi.  Mereka ialah Prof. Dr. Robiah Yunus dari Institut Teknologi Maju/Fakulti Kejuruteraan (Kategori Penyelidik Cemerlang, Kluster Sains dan Teknologi);  Dr. Mohd Yusof Saari dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan yang menerima dua anugerah (Kategori Penyelidik Cemerlang, Kluster Sains Sosial dan Kategori Penerbitan Makalah Jurnal, Kluster Sains Sosial).

Dr. Sarva Mangala Praveena dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (Kategori Penyelidik Muda, Kluster Sains dan Teknologi); Dr. Moniza Waheed dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Kategori Penyelidik Muda Kluster Sains Sosial); Dr. Abdul Azis Ariffin dari Institut Teknologi Maju (Kategori Inovasi dan Pengkomersilan Produk);  Dr. Shamshuddin Jusop dari Fakulti Pertanian (Kategori Penerbitan Makalah Jurnal, Kluster Sains dan Teknologi);
Prof Dr. Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (Kategori Penerbitan Buku); dan Mohd Nasir Baharuddin dari Fakulti Rekabentuk dan Senibina (Kategori Seni dan Kreativiti).

Dua orang menerima Anugerah Fellowship Naib Canselor - Perkhidmatan Profesional. Mereka ialah Prof. Dr. Laily Paim dari Fakulti Ekologi Manusia (kategori Kumpulan Pengurusan dan Profesional); dan Razali Othman dari Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (kategori Kumpulan Pelaksana).

Tiga orang menerima Anugerah Fellowship Naib Canselor - Perunding Cemerlang. Mereka ialah Dr. Fadzilah Abd. Rahman dari Fakulti Pengajian Pendidikan; Prof Madya Dr Hazandy Abdul Hamid dari Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan/Fakulti Perhutanan; dan Dr. Mohd Zafri Hassan dari Fakulti Sains Pertanian dan Makanan, UPM Kampus Bintulu.



Ketika berucap pada majlis itu, Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris melahirkan penghargaan dan tahniah kepada penerima anugerah, sambil berharap mereka akan menjadi inspirasi bagi warga UPM untuk terus cemerlang. 
 
Katanya, MGAP yang bermula lapan tahun lalu adalah program tahunan universiti yang menyokong usaha murni Kementerian Pendidikan Tinggi dan kerajaan dalam melahirkan insan ilmuwan yang terbilang.

Pada majlis itu Tuanku Canselor Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan melancarkan empat buku yang bertajuk Malay Culinary Herbs, Glorious Landscape Plants in Selangor, Magnificent Forest Trees in Selangor, dan Fruit Splendour of Selangor.  - UPM

 


WXDdSA2~