| Universiti Putra Malaysia

Sukarelawan UPM sumbang lebih 6,000 Kit 3K untuk petugas, pesakit COVID-19

Oleh: Syafiq Hariz bin Mohd Hanafiah dan Nurul Athira Mohd Affandi

 

SERDANG - Sebagai solidariti bersama kerajaan dalam usaha membendung penularan COVID-19, Universiti Putra Malaysia (UPM)  mengambil inisiatif dengan memberi bantuan penyediaan tempat penyimpanan dan bungkusan kit bantuan kepada petugas barisan hadapan dan pesakit COVID-19.

Aktiviti pembungkusan kit itu yang diiadakan dari 26 Februari hingga 1 Mac 2021 di Pusat Perhubungan Alumni, Bangunan TNCPI UPM, melibatkan 100 sukarelawan terdiri daripada pelajar di kolej kediaman, kakitangan UPM, ahli Sahabat Masjid UPM, sukarelawan Chapter Alumni Yosh UPM, sukarelawan YOSH MyFundAction dan wakil Jabatan Kebajikan  Masyarakat.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM,  Prof. Dr Arifin Abdu berkata inisiatif Pusat Perhubungan Alumni UPM bersama MyFundAction itu selari dengan usaha melahirkan graduan yang holistik berteraskan kesukarelawanan yang menjadi elemen utama memupuk budaya cakna pelajar dalam menangani krisis seperti pandemik COVID-19.

Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM), Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan dan alumni yang menyertai program itu.

“Alumni menjadi penghubung agensi luar ke dalam UPM seperti NGO untuk aktiviti kerjasama, seperti yang dicontohkan oleh Chapter Alumni Yosh UPM serta ekspetasi orang luar kepada UPM sebagai fungsi untuk anak muda bersama menggembleng tenaga secara kolektif, dan bukan sahaja kerajaan yang mengambil tanggungjawab ini,” katanya.

Bantuan yang diberikan adalah berbentuk agihan 1,600 pek makanan dan set peralatan perlindung diri (PPE) kepada petugas barisan hadapan serta agihan 5,500 pek makanan dan kit kebersihan diri kepada pesakit yang berjumlah RM660,210.

Wakil pelajar, pelajar Doktor Perubatan Tahun 4, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Fatin Aisyah yang menyertai sukarelawan Program UPM Prihatin: Kit 3K (Keselamatan, Kesihatan  dan  Keriangan) itu berkata, walaupun dalam tempoh peperiksaan akhir diadakan, beliau mahu membantu pesakit dan petugas barisan hadapan yang sangat memerlukan peralatan perlindungan diri (PPE) dan set penjagaan diri. - UPM

 

SXEUMAS~