| Universiti Putra Malaysia

Sukan secara maya galak masyarakat aktif

 

SERDANG, 6 Dis – Sekretariat Sukan Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP),  UPM menganjurkan program bersiri Aktif Bersama Sifu (ABS) siri pertama secara maya.

Program ABS diperkenalkan ketika norma baharu dilalui semua pihak semasa pandemik COVID-19 ini.

Pengarah program Aktif Bersama Sifu 1.0, Amirul Mirza Fahmi berkata program itu bertujuan mendedahkan sukan yang popular di kalangan mahasiswa UPM kepada orang ramai secara maya.

“Idea program ini diinspirasikan dari bengkel sukan yang selalunya dianjurkan oleh Pusat Sukan UPM secara fizikal sebelum dunia dilanda pandemik. Kami dari sekretariat sukan KTDI UPM memikirkan inisiatif lain untuk menjalankan program yang mengajar teknik serta teori menegenai sukan secara atas talian,” katanya.

Program ABS siri 1.0 bermula dengan pengenalan sukan bola tampar. Tenaga pengajar terdiri daripada pelajar KTDI UPM yang juga atlet kolej dan UPM yang berpengalaman dalam sukan itu

Mohamad Syazwan Saupi, atlet bola tampar yang juga merupakan pelajar Bacelor Pendidikan Pendidikan Jasmani, berkata beliau bangga terpilih sebagai Sifu dan berpeluang berkongsi ilmu bola tampar.

“Ini adalah pengalaman pertama saya mengajar sukan secara maya. Ia pengalaman luar biasa dan amat menyeronokkan,” katanya.

Penasihat program, Prof. Madya Dr Yap Wing Fen berkata, progam ABS 1.0 memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai teori dan teknik asas permainan bola tampar dengan lebih interaktif dan mesra penonton.

“Program ABS 1.0 merupakan inisiatif pelajar untuk kekal aktif di samping menurunkan ilmu kepada masyarakat. Walaupun dijalankan secara maya, ia berjaya mengasah kemahiran insaniah pelajar,” katanya.

Program selama dua jam itu turut menampilkan atlet kebangsaan bola tampar, Yogeswaran Elangovan, yang juga alumni KTDI, UPM. Beliau berkongsi pengalaman sepanjang bergelar atlet kebangsaam dan dalam masa yang masa sebagai pelajar UPM.

Program itu mencatatkan lebih daripada 2,500 tontonan di laman Facebook rasmi KTDI UPM.

Seorang peserta, Muhammad Arifin berkata beliau tidak menyangka bahawa program sukan yang begitu kreatif dapat dianjurkan dalam keadaan norma baharu ini.

“Selepas saya mengikuti program live ini, saya dapat memahami sukan bola tampar termasuk teknik dan peraturannya. Progam ini amat menarik dan berlainan dengan program lain yang banyak berbentuk seminar,” katanya yang teruja untuk mencuba sukan itu dan berazm untuk mengikuti program berkenaan bagi siri seterusnya untuk mempelajari sukan lain.

Program Aktif Bersama Sifu 2.0 akan membicarakan sukan bola jaring. Untuk menonton semula rakaman FB live untuk program tersebut, link https//fb.watch/2vWPGwCAAC/ - UPM

 

 

 

SXDcWAQ~