| Universiti Putra Malaysia

Suami jual kudapan ‘bus stop’ dapat Master

Oleh: Azman Zakaria

SERDANG, 28 Okt - Hasil menjual kudapan seperti aneka keropok berbungkus yang diletakkan di semua perhentian bas dalam kampus Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menampung pengajian dua pelajar suami isteri ternyata berbaloi apabila si suami berjaya memperolehi ijazah Master Sastera (Bahasa Melayu) dalam Majlis Konvokesyen UPM ke – 42 hari ini.

Mohd Hazreen Shah Hassan, 26, pelajar Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM dibantu isterinya  Nur Afiqah Ayub, 25 juga pelajar UPM program Bacelor Pengajian Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua mula membungkus kudapan setiap malam sehingga jam tiga pagi.

“Sejak berkahwin dan mempunyai seorang anak, kami tidak mahu menyusahkan ibu bapa semasa pengajian. Lagipun ayah seorang petani dan ibu suri rumah. Mungkin keadaan ini (jualan kudapan) akan berterusan buat beberapa tahun lagi kerana saya menyambung pengajian peringkat Doktor Falsafah.

“Oleh kerana pendapatan tidak banyak, saya terpaka membuat khidmat ‘Student Cab’ dengan menghantar pelajar-pelajar UPM ke destinasi berhampiran Serdang menerusi aplikasi WhatsApp,” katanya.

Beliau yang sentiasa memastikan dapat menyiapkan  tugasan dalam waktu yang ditetapkan mengakui disiplin tinggi perlu untuk bahagikan masa dengan betul. - UPM

WXESUAQ~