Street Dakwah Santuni Gelandangan | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Street Dakwah santuni gelandangan

Street Dakwah santuni gelandangan

KUALA LUMPUR, 7 Dis - Kelab Huffaz Universiti Putra Malaysia (UPM) buat julung kalinya mengadakan program “Street Dakwah with Huffaz Empowerment Respected Society (HERO)” bagi menyantuni gelendangan di sekitar Masjid Jamek, Kuala Lumpur.

Ia disertai 44 peserta dari pelbagai institusi pengajian tinggi termasuk UPM, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Malaysia (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Beberapa slot istimewa bersama komuniti dijalankan antaranya ialah “Street Dakwah” yang serba sedikit mendedahkan peserta cara untuk menyampaikan isu semasa dan masalah sosial kepada masyarakat sekeliling, dengan menggunakan pendekatan berhemah.

Peserta menemu ramah komuniti di situ serta menyampaikan beberapa ayat Al Quran untuk dihayati bersama. Slot istimewa seterusnya diketuai oleh Youth of Strength & Happiness (YOSH) yang berkongsi pengalaman dan memberikan contoh untuk menyantuni gelandangan.

Peserta juga diberikan peluang dan masa untuk menyantuni gelandangan berdasarkan konsep “Kita Sapa, Kita Duduk, Kita Faham.”

Peserta program, Nur Hikmah Hanis berkata beliau menyokong usaha murni Kelab Huffaz UPM dalam memeberi ilmu kepada gelendangan.

“Program ini menguji keberanian saya kerana saya perlu berani dalam bergaul dan menyebarkan kebaikan kepada masyarakat sekeliling menggunakan pendekatan Al-Quran,” katanya.

Penganjuran program “Street Dakwah” itu memberi manfaat kepada semua peserta  ke arah membentuk mereka menjadi huffaz profesional yang bukan sekadar menghafal Al-Quran, malah menyampaikannya kepada orang lain serta menjadi ejen mengubah diri dan masyarakat sekeliling untuk berusaha mencapai kejayaan hidup di dunia dan di akhirat.

Selain itu, pemerkasaan Al-Quran dalam kalangan remaja adalah isu yang amat penting untuk diketengahkan dalam melahirkan modal insan yang beramal dan mengaplikasikan Al-Quran dalam kehidupan seharian mereka.

Justeru, Kelab Huffaz UPM mengambil inisiatif untuk menghidupkan suasana menghafal Al-Quran di UPM berfokuskan untuk melahirkan huffaz professional yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Kelab Huffaz UPM dilancarkan pada 30 Mei 2019 oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), UPM, Prof. Dr. M. Iqbal Saripan. - UPM

 

Tarikh Input: 19/12/2019 | Kemaskini: 08/01/2020 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUKYXA:23:58