Stok Makanan Hanya Boleh Bertahan 45 Hari: Prof. Datuk Dr. Mad Nasir | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Stok makanan hanya boleh bertahan 45 hari: Prof. Datuk Dr. Mad Nasir

Stok makanan hanya boleh bertahan 45 hari: Prof. Datuk Dr. Mad Nasir

Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Marina Ismail


SERDANG, 21 Jun - Stok bekalan makanan ruji negara pada masa ini hanya mampu bertahan untuk tempoh 45 hari sahaja, sekali gus menyebabkan kestabilan bekalan makanan negara berada pada tahap membimbangkan disebabkan kebergantungan terlalu tinggi terhadap sumber import.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin berkata sehubungan itu stok penimbal makanan perlu ditambah supaya mampu bertahan bagi tempoh lebih panjang, manakala penumpuan pelaburan tidak harus semata-mata terhadap sektor komoditi tetapi juga sektor pertanian makanan.

“Kita stabil, tetapi kestabilannya rapuh sebab kita banyak bergantung kepada import… itu yang kita bimbang,” katanya pada sidang media selepas menjadi panel program advokasi ilmuwan bertajuk “Sekuriti Makanan Malaysia: Sampai Bila?”,  di sini.

Program itu dianjurkan Majlis Profesor Negara (MPN) dengan kerjasama Utusan Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan UPM. Dua lagi anggota panel program berkenaan ialah Naib Canselor UPM, Datin Paduka Dr. Aini Ideris,dan Ketua Kluster Pertanian dan Makanan MPN, Prof Dr. Ghizan Saleh.

Prof Datuk Dr Mad Nasir berkata kadar import (net import) makanan negara pada tahun lalu meningkat kepada RM18.1 bilion, jauh lebih tinggi berbanding RM1.1 bilion pada 1990.

Menurutnya, jika situasi kebergantungan yang tinggi kepada import  tidak dikawal, ia boleh mengundang berlakunya  krisis makanan jika hasil di negara pengeksport  terjejas atau negara terbabit menghentikan eksportnya seperti Vietnam menghentikan eksport berasnnya pada tahun 2008.



Katanya, kajian menunjukkan sekiranya makanan tidak mencukupi selama empat hari, ia boleh menimbulkan ketidakstabilan dan huruhara.

Justeru, katanya, pemain industri pertanian harus mengambil kira pulangan sosial iaitu kestabilan serta kemananan negara, dan tidak pulangan ekonomi semata-mata ketika membuat pelaburan bagi memastikan kestabilan terus kekal.

Katanya, tatkala pelabur menumpukan kepada sektor komoditi atau perladangan, mereka juga tidak harus mengabaikan sektor pertanian makanan dengan membiarkan sektor itu diusahakan oleh petani kecil sahaja.

“Pulangan daripada sekuriti makanan adalah kestabilan dan keamanan negara, ia tanggungjawab semua,” katanya.

Prof Datin Paduka Dr Aini pula berkata sekuriti makanan membabitkan faktor kecukupan yang merangkumi kesediaan, kecapaian atau ‘affordability’ terhadap bahan makanan.

Katanya, UPM yang 60 peratus programnya adalah berasaskan pertanian membantu daripada segi sekuriti makanan termasuk melalui penghasilan teknologi dan inovasi bidang pertanian.

Beliau berkata, industri asas tani mesti terus diperkasakan untuk melahirkan lebih ramai usahawan tani.

Prof Dr Ghizan pula, berkata kerajaan perlu meningkatkan keluasan tanah untuk pertanian makanan bagi meningkatkan tahap kestabilan bekalan kerana 1 juta hektar yang digunakan untuk pertanian sekarang ini adalah terlalu kecil dibandingkan dengan keluasan 5.5 juta hektar untuk aktiviti perladangan dan komoditi terutama penanaman kelapa sawit. – UPM.


 


Kemaskini:: [hairul_nizam]

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
1800 22 5587
+603 8948 7273
C1511157322