| Universiti Putra Malaysia

STEdex 2017 platform pensyarah FRSB ketengahkan penyelidikan

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto: Noor Azreen Awang

 

SERDANG, 23 Mei – Pameran STEdex 2017 dilihat sebagai platform pensyarah Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB), Universiti Putra Malaysia (UPM) mengetengahkan hasil serta aplikasi penyelidikan berasaskan reka bentuk dan senibina.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata bidang reka bentuk dan senibina perlu menonjolkan keunikan bagi membolehkan fakulti maju dalam bidang tersebut serta membina jaringan kolaborasi bersama rakan industri dan institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.

“Pameran STEdex yang diadakan di Galeri Serdang turut membuka ruang untuk dikenali oleh pihak luar antaranya kedutaan serta pelawat antarabangsa dan ini secara langsung meningkatkan visibiliti UPM,” katanya.

 

Dekan FRSB UPM, Prof. Madya LAr. Dr. Osman Mohd Tahir berkata objektif penganjuran STEdex adalah untuk mempamerkan karya kreatif yang dihasilkan oleh pensyarah serta pelajar UPM dan menggalakkan perdebatan mengenai isu-isu masyarakat mengenai reka bentuk dan senibina.

“STEdex telah memberi impak kepada KPI fakulti dan juga UPM dalam penerbitan dalam Chapter in Books dan Books untuk MyRA. FRSB sedang dalam usaha untuk menaikkan STEdex ke satu tahap untuk mengindexkanSTEdex di Malaysia Citation Index (My Cite) sebagai Exhibition Conference,” katanya.

Pada majlis yang sama, FRSB UPM bekerjasama Sime Darby Property melalui projek verifikasi dan pengurusan tumbuhan hutan terancam di Malaysia dan menghasilkan buku “The Malaysian Rare & Threatened Tree Species Guideline” yang diterbitkan oleh Sime Darby Property untuk rujukan arkitek landskap, pengamal dan pelajar bagi meningkatkan biodiversiti bandar dan pemuliharaan warisan semula jadi Malaysia.

Sementara itu, penganjuran STEdex’17 yang bertemakan [Re]Place bertujuan mengetengahkan idea reka bentuk dan senibina baharu melalui pameran berindex serta mempelopori pameran berasaskan penyelidikan yang berkaitan dengan reka bentuk dan senibina di UPM.

Pameran itu yang bermula pada tahun 2009 melibatkan hasil kerja pelajar dan pensyarah FRSB, UPM. Melalui penganjuran pameran STEdex pencapaian KPI pegawai akademik telah dapat ditingkatkan seterusnya membantu sasaran pencapaian fakulti dalam konteks penyelidikan.- UPM

 

WXEaGA~