| Universiti Putra Malaysia

SPM tiada A punca titik tolak Azri genggam ijazah di usia 37 tahun

Oleh Nurul Amiraa Mohamed Rafiq

SERDANG, 17 Nov - "Saya pernah berjanji pada diri perlu terima diploma sebelum usia 30 dan ijazah sebelum usia 40. Akhirnya hari ini janji ini tercapai,” mata Azri mula berkaca-kaca.

Bukan saja menghadapi cabaran besar dalam meneruskan pendidikan ketika berusia 30-an, malah pengorbanan mengenepikan minat yang mendalam dalam bidang sukan karate-do adalah antara pengalaman yang diceritakan Mohamad Azri Zainal sempena Majlis Konvokesyen ke-43 Universiti Putra Malaysia (UPM).

Keluarga cukup kecewa dengan keputusan SPM yang diterima dan pada ketika itu penglibatan aktif dalam sukan karate-do sehingga berjaya memenangi pingat emas Kejohanan Remaja Kebangsaan dikatakan punca kegagalan Azri dalam SPM tahun 2000.

"Penglibatan sukan sahaja tak boleh membantu diri ini, kalau tidak berundur sekarang mampukah saya sambung pengajian lagi?," kata Azri mempersoal akan situasi dirinya 19 tahun yang lalu. Persoalan itu bukan sekali dua lalu di benak fikirannya, malah puluhan kali.

Menyambung pengajian ke peringkat Sijil, bekerja sebagai mekanik di Perodua, bertukar pekerjaan kepada penjawat awam juruteknik Gred J17 di Lembaga Pertubuhan Peladang, menjalankan pengajian diploma jarak jauh sambil bekerja, dinaikkan pangkat kepada penolong jurutera kanan selepas menerima diploma, dan menyambung pengajian peringkat bacelor di UPM sejak 2015, satu demi satu perjalanan kehidupan Azri dirangka bagi memastikan beliau tidak patah semangat walaupun setelah melalui episod kegagalan SPM.

"Dari semester satu sehingga tiga di UPM, saya bercuti tanpa gaji ekoran syarikat tempat saya bekerja tidak meluluskan permohonan cuti bergaji penuh atas kekangan pendidikan, pernah sekali saya buat kerja sampingan menyediakan kertas kerja bagi syarikat-syarikat pertanian namun tidak menerima sebarang bayaran seperti yang diharapkan."

Rayuan pemohonan cuti bergaji penuh kali kedua Azri diluluskan bermula semester ke-4 pengajian ijazahnya sekali gus berjaya meleraikan beban keresahannya dalam menanggung tanggungan keluarga pada awal tahun 2017.

Pada hari ini, Azri atau Azri Zainal berjaya menggenggam Bacelor Kejuruteraan (Pertanian dan Biosistem) disamping isteri dan ibu tercinta.

Azri kini telah mula bertugas di Kedah dengan syarikat sama di bawah kontrak perjanjian pekerjaan sebelum ini dan tidak menolak impian untuk menyambung pengajian lagi ke peringkat master dalam bidang sama. . – UPM

WXEUNA~