| Universiti Putra Malaysia

SPARTAR suntik minat pelajar sekolah belajar ke peringkat ijazah

Oleh: Nur Eizni Shafiqah Mohd Rozi

 

SERDANG – Pelajar SMK Senaling, Kuala Pilah menyertai Sparkle Star Outreach Programme (SPARTAR) 2.0 dan merasai sendiri suasana kehidupan di kampus Universiti Putra Malaysia (UPM), yang bertujuan menyuntik minat pelajar untuk meneruskan pembelajaran ke peringkat ijazah.

Program dibahagikan kepada dua siri, dengan siri pertama yang diadakan di SMK Senaling dari 27 hingga 29 September lalu disertai 56 orang pelajar sekolah itu, manakala 40 pelajar SMK Senaling di bawa ke UPM di sini untuk menyertai Siri II dari 18 hingga 20 Oktober.

Matlamat utama program adalah untuk memberi pendedahan dan membuka minda pelajar sekaligus menarik minat mereka untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi khasnya ke Institut Pengajian Tinggi.

SPARTAR 2.0 memfokuskan pelajar sekolah menengah terutamanya pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 dengan tema “Together We Sparkle, Together We Care”. Ia dianjurkan Majlis Perwakilan Kolej (MPK) Kolej Empat Belas (K14) dengan kerjasama Pihak Pengurusan K14 dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UPM.

Pada Siri I, pelajar UPM berkampung selama tiga hari di Senaling dan melakukan pelbagai aktiviti menarik dan mencabar ‘Love Yourself Harder’, ‘Passport To The Future’, ‘Explorace 6th Sense’ dan ‘It’s My Decision’.

Majlis penutupan Siri I disempurnakan Penyelaras DUN Seri Menanti, Jamali Salam. Turut hadir Pengetua Kolej Empat Belas, Prof. Madya Dr.Khairulmazmi Ahmad.

Pengarah program, Muhammad Faiz Mohd Salehudin yang juga pelajar Bacelor Sains (Akuakultur), Fakulti Pertanian, UPM berkata beliau berkongsi pengalaman di zaman persekolahan yang berjaya mewujudkan keinginan untuk menyambung pelajaran ke peringkat universiti.

Pelajar SMK Senaling, Ahmad Abdillah Nor Norsham Salman berkata, melalui program itu beliau dan rakan-rakan memperoleh banyak ilmu.

“Aktiviti yang dijalankan membantu kami untuk keluar dari kepompong kebiasaan dan menggalakkan kami untuk banyak berfikir dan bercakap di khalayak ramai,” katanya.

Aktiviti dalam Siri II tertumpu kepada matlamat untuk mendedahkan suasana pembelajaran dan persekitaran di alam universiti kepada pelajar SMK Senaling.

Pelajar dibawa ke fakulti-fakulti di UPM seperti Fakulti Pertanian, Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina, Fakulti Veterinar, dan Fakulti Bahasa Moden Komunikasi serta melawat tempat menarik dan berilmiah seperti Muzium Anatomi Haiwan, Muzium Entomologi, Makmal Ikan Hiasan, Muzium Warisan Melayu, Galeri Serdang dan Ladang 15.

Pelajar juga diberi peluang menaiki bas ke kampus, menginap di kolej mahasiswa serta mendengar taklimat dan motivasi daripada pensyarah di bilik kuliah.

Pengetua SMK Senaling, Zahari Datuk Wira Long ketika berucap pada majlis penutupan Siri II berkata, program SPARTAR 2.0 memberikan impak positif kepada pelajar SMK Senaling dan mereka ceria mengikuti program walaupun diadakan selama tiga hari. - UPM

 

 

SXEZEA~