| Universiti Putra Malaysia

SOAP: Mabuhay! Manila dilaksana dalam norma baharu

Oleh: Najwa Zamahuri

SERDANG, 5 Mei - Kelab Kepimpinan Putra (KEPUTRA), Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menganjurkan  Society Awareness Programme (SOAP): Mabuhay! Manila baru-baru ini dengan sedikit pembaharuan dengan melaksanakannya secara atas talian, setelah tertangguh hampir setahun.

Ia adalah siri keenam program kesukarelawan SOAP yang memfokuskan kepada aspek kesedaran dalam kehidupan masyarakat, selepas ke Kemboja pada 2018 dan Thailand pada 2019.

Pengarah SOAP: Mabuhay! Manila,  Muhammad Shahmi Sari berkata program iitu sepatutnya ke Filipina pada Julai 2020, dan setelah setahun serta melihatkan kepada situasi COVID-19 masih belum pulih, sekretariat merasakan keperluan untuk menyempurnakan program itu secara norma baharu.

“Dengan penyesuaian kepada situasi semasa  kami telah berkolaborasi bersama Global Peace Mission (GPM), Malaysia untuk melaksanakan edisi baharu SOAP: Mabuhay! Manila secara dalam talian,” katanya. 

Ketua Jabatan GPM, Ahmad Hamizan memberikan perkongsian bertajuk ‘Pasca COVID-19: Sukarelawan di Peringkat Antarabangsa’ dan menzahirkan pandangan mengenai SOAP serta berkongsi pengalaman menguruskan projek sukarelawan di 23 buah negara termasuk Indonesia, Bangladesh dan Thailand.

“Kita harus galakkan apabila pelajar mahu bekerjasama melaksanakan program kesukarealwan seperti ini. Sepatutnya SOAP ini sudah sampai ke Filipina, tetapi tidak dapat ke sana,” katanya.

Beliau yang juga antara penggerak GPM berkata, biasanya pada setiap tahun pihaknya akan memberi sumbangan di Filipina tetapi akibat COVID-19, mereka tidak dapat ke sana tahun ini dan menghantar sumbangan untuk disampaikan oleh wakil di sana.

Majlis Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS),Wong Kin Lun ketika menutup SOAP: Mabuhay!Manila berharap barisan pelaksana akan meneruskan nilai murni dan semangat kesukarelawanan dalam membantu masyarakat yang memerlukan seperti mereka yang ditimpa musibah khususnya, individu yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada barisan pelaksana SOAP kerana telah bersungguh-sungguh dalam merealisasikan dan memastikan program ini dapat dijalankan dengan jayanya walaupun secara virtual,” katanya.

Pada majlis itu turut ditayangkan hasil garapan kreatif jawatankuasa dalam berkongsi perancangan awal program sehingga terlaksananya edisi baharu itu termasuk penghantaran sumbangan kepada masyarakat di Filipina melalui GPM.

Turut dikongsikan video ‘Salam dari Filipina’ oleh wakil GPM yang menetap di Filipina sewaktu menjalankan misi menghantar sumbangan SOAP: Mabuhay! Manila kepada masyarakat Islam di Filipina. Beliau turut berkongsi mengenai kehidupan masyarakat di Filipina dan situasi semasa COVID-19 di sana.

Pegawai Penasihat SOAP: Mabuhay! Manila, Siti Mahsuri Talib berkata, pasukan SOAP amat bersyukur kerana dapat menyempurnakan program itu.

“Walaupun tidak dapat ke Filipina, kita percaya matlamat utama program iaitu memberi pendedahan dan kesedaran kepada pelajar serta masyarakat tentang kepelbagaian dalam kehidupan telah dapat dicapai. Pelajar juga memperoleh pengetahuan seperti mengenali bahasa Tagalog dan mengetahui tempat-tempat di  Filipina serta masyarakatnya. - UPM

SXEQRAs~