| Universiti Putra Malaysia

Skuad Hoki Wanita Kolej Keenam pertahan kejuaraan SUKOL UPM 2018

Oleh Nurul Hafizah Azahar

SERDANG, 11 Nov – Kolej Keenam mempertahankan gelaran juara hoki wanita Kejohanan Sukan Kolej (SUKOL), Universiti Putra Malaysia (UPM) setelah menewaskan Kolej Canselor 3-0 pada perlawanan akhir.

Kolej Keenam mempamerkan aksi bertenaga dan tidak berdepan masalah membenam Kolej Canselor melalui jaringan Safiqah Mat Isa, Baiduri Tajuddin dan Liyana Sepawi.

Pada kejohanan itu, Kolej Keenam memenangi semua perlawanan tanpa pintu gol mereka dibolosi.

Sebelum itu pada peringkat separuh akhir, Kolej Keenam menewaskan Kolej Tun Dr Ismail 3-0, manakala Kolej Canselor mengetepikan Kolej Sebelas juga 3-0.

Pada suku akhir, Kolej Keenam mengalahkan Kolej Muhamad Rashid 5-0.

Pada peringkat kumpulan, Kolej Keenam menewaskan Kolej Tun Perak 6-0 dan Kolej Pendeta Zaaba 8-0.

Penolong Pendaftar Kanan Pusat Sukan, UPM, Wan Zaharuddin Wan Abdullah berkata kejohanan itu adalah landasan untuk mengenal pasti bakat pelajar kolej yang boleh di ketengahkan untuk mewakili UPM ke peringkat MASUM.

“Saya melihat kejohanan ini menggalakkan warga kolej membabitkan diri dalam aktiviti sukan, membentuk mahasiswa yang sihat daripada segi mental dan fizikal serta berdaya saing seperti ditunjukkan oleh setiap pemain Kolej Keenam,” katanya.

Wan Zaharuddin Wan Abdullah kemudian menyampaikan hadiah dan sijil kepada skuad hoki wanita Kolej Keenam dan skuad hoki wanita Kolej Canselor.

Pengurus pasukan skuad hoki wanita Kolej Keenam, Zaharah Sailan Abdullah berkata beliau amat gembira dengan prestasi dan kesungguhan yang dipamerkan para pemain sepanjang kejohanan itu.

“Saya amat berpuas hati dengan komitmen yang diberikan oleh pemain dari mula latihan sehingga berakhir kejohanan ini. Saya berharap kejayaan ini akan membakar semangat mereka untuk mempertahankan kejuaraan pada tahun depan,” katanya. - UPM

SXETQA~