| Universiti Putra Malaysia

Simposium Kebangsaan Sains Matematik perkasa bidang sains matematik

 

BANGI, 27 Nov – Ahli matematik, sains atau kejuruteraan perlu mempertingkatkan kerjasama di kalangan mereka secara lebih agresif, kata Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Zulkifli Idrus.

Katanya, ia bagi memperhebat kemajuan serta kecanggihan hasil dapatan kajian, seterusnya diaplikasikan dalam industri bagi tujuan pengkomersialan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Simposium Kebangsaan Sains Matematik ke-27 (SKSM27), di sini. Simposium itu dianjurkan Jabatan Matematik, Fakulti Sains, UPM dengan kerjasama Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA) bertujuan memperkasakan bidang sains matematik di Malaysia.

Pengerusi SKSM27, Prof. Madya Dr. Norfifah Bachok @ Lati pula berkata persidangan itu menyediakan platform bagi ahli akademik, penyelidik tempatan dan pelajar berkumpul, bertukar idea dan membina jaringan untuk memperkembangkan penyelidikan.

“Simposium seperti ini amat memberi manfaat dalam memperkasakan bidang Sains Matematik dan aplikasinya di Malaysia menerusi perbincangan idea inovatif penyelidik dalam mengembangkan ilmu untuk melaksanakan penyelidikan di masa hadapan dan seterusnya dalam usaha mencapai taraf negara Industri 4.0,” katanya.

Ia dihadiri 152 pembentang kertas kerja, 55 peserta, lima penceramah jemputan dan dua pengucaptama dari semua universiti awam di Malaysia.

Pembentangan kertas kerja merangkumi pelbagai topik termasuk matematik tulen, matematik gunaan, matematik berkomputasi, matematik kejuruteraan, matematik kewangan, pendidikan matematik, penyelidikan operasi dan pengoptimuman, statistik, serta sains data.

Pada majlis perasmian dan makan malam SKSM27, PERSAMA turut memberikan pengiktirafan tahunan kepada ahli matematik tempatan pada majlis Anugerah PERSAMA.

Anugerah PERSAMA diberikan kepada pensyarah, pelajar siswazah dan guru dengan mengambil kira sumbangan kepada penemuan dalam bidang sains matematik, keaslian, mutu dan keistimewaan. Pencalonan bermula awal 2019.

Tujuh belas kategori anugerah disampaikan kepada pemenang, antaranya Anugerah Felo PERSAMA 2019, Kategori Buku (Karya Asli), dan Anugerah Reka Cipta Matematik.

Persidangan bertemakan “Sains Matematik Peneraju Kelestarian Industri dan Peradaban Manusia” itu juga mengadakan forum “Pengukuhan Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) Matematik di Sekolah” yang mengumpulkan tiga ahli panel dari Kementerian Pendidikan bagi membincangkan isu dan cabaran dalam pengukuhan dan pengkayaan pengajaran dan pembelajaran matapelajaran Matematik dan Matematik Tambahan di sekolah seluruh Malaysia.

Forum dihadiri lebih 40 orang wakil guru daerah Petaling Perdana, Hulu Langat, Hulu Selangor, Sepang, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Persatuan Guru STEM serta Bahagian Pendidikan Menengah MARA. - UPM

 

 

 

SXDcWAe~