| Universiti Putra Malaysia

Seronok dapat mudahkan perjalanan orang: Uncle Sri

Oleh: Azman Zakaria
Foto: Noor Azreen Awang

 

 

SERDANG, 2 Nov - “Dapat membahagiakan dan memudahkan urusan perjalanan orang, menimbulkan rasa seronok dan rasa bahagia dalam diri ini.”

Itu ungkapan kata-kata anggota Polis Bantuan Universiti Putra Malaysia (UPM), Sri Kantha Rao a/l Sani Babu yang menerima Penghargaan Khas Kualiti Perkhidmatan Pelanggan sempena Hari Kualiti dan Inovasi Perkhidmatan (HKIP) 2018 UPM, hari ini.

Katanya, rasa letih berdiri tiga jam mengawal lalulintas ketika majlis besar di UPM, hilang apabila melihat pemandu atau penumpang kereta melemparkan senyuman dan melambai kepadanya.

“Ketika penat berdiri sambil tangan memberi arah pergerakan lalulintas, saya tetap akan senyum. Apabila orang membalas senyuman atau melambai tangan, hilang segala kepenatan itu.

“Itu membuatkan saya dapat terus tersenyum walaupun berjam-jam berdiri di bawah panas terik matahari. Demi tugas dan untuk universiti, saya melakukannya,” katanya yang sudah berkhidmat selama 29 tahun dalam perkhidmatan kawalan lalulintas dan keselamatan universiti.

Sri Kantha Rao, 49, dari Tanjung Malim Perak berkata, keadaan seperti itu dirasai terutamanya ketika hari pendaftaran pelajar dan semasa majlis konvokesyen yang menyaksikan banyak kenderaan memasuki UPM.

“Selepas bertugas pada hari-hari seperti itu, saya terus pulang ke rumah untuk istirahat kerana perlu mempersiapkan diri secara fizikal untuk tugas keesokan hari,” katanya yang mesra dipanggil dengan nama Uncle Sri.

Beliau menerima sijil dan wang tunai RM500 daripada Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris pada HKIP 2018 itu.

Sikap ramah mesranya juga disenangi pegawai, kakitangan dan pelajar UPM serta orang awam. Tanpa pengetahuan Sri Kantha, UPM telah berkongsi gambar dan ucapan Selamat Pagi Uncle Sri dalam Facebook Page UPM pada 29 Oktober lalu sempena Majlis Konvokesyen ke-42 UPM, dan paparan itu mendapat 11,716 reaksi dan 152,396 people reached, menjadikannya ranking kedua tertinggi daripada keseluruhan maklumat yang dikongsi dalam media sosial UPM.

Katanya, beliau sejak kecil suka bergaul tanpa mengira bangsa atau siapa sahaja, dan ia menjadi kebiasaan sehingga bekerja.

“Pada saya menyapa seseorang dan ramah mesra tanpa mengira bangsa adalah biasa sahaja… tapi pada pandangan orang lain, mungkin ia sesuatu yang luar biasa,” katanya yang mempunyai tiga anak hasil perkahwinan dengan S.Yasotha, 48.

 

Sebelum bekerja di UPM, katanya, beliau bertugas sebagai pengawal keselamatan sebuah syarikat swasta selama enam bulan. “Rakan sekerja saya ketika itu memaklumkan terdapat kekosongan jawatan Polis Bantuan di UPM… kami berdua mengisi borang, tapi saya seorang yang dapat kerja yang dimohon di UPM manakala dia gagal,” katanya. – UPM

WXESTAo~