| Universiti Putra Malaysia

Serdang Cendol menang tempat kedua VEST 2017

Oleh Nur Sabrina Marzuki

  

                                                              

 

BANGI – Serdang Cendol dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang diketuai usahawan siswa Muhammad Faris Jaafar  memenangi tempat kedua Pertandingan Varsity Entrepreneurship Skills & Talents (VEST) 2017.

Beliau menerima RM15,000 selepas berjaya menjadi Top 3 Finalist bersama kumpulan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) pada Karnival dan Malam Gala VEST 2017 di UKM, Bangi di sini.

Sebanyak 437 kumpulan dari 20 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara menyertai VEST 2017, membabitkan hampir 1,700 mahasiswa. Sebanyak 200 idea perniagaan telah di ketengahkan.

Acara kemuncak program VEST disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Program VEST dilancarkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada 28 April 2017.

Ia merupakan pertandingan keusahawanan bertujuan memupuk, melahir dan membangunkan usahawan dalam kalangan graduan universiti tempatan.

Dalam tempoh enam bulan, para peserta didedahkan dengan teknik terkini jualan, pemasaran, penjenamaan, komunikasi berkesan, membina rangkaian francais dan perancangan kewangan sebagai persediaan menjadi usahawan.

Melalui program VEST 2017, mahasiswa juga berpeluang merebut tawaran yang diberikan oleh agensi-agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Bank Rakyat, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

WXEaAAw~