Seramai 7,700 Pelajar UPM Kembali Semula Ke Kampus | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Seramai 7,700 pelajar UPM kembali semula ke kampus

Seramai 7,700 pelajar UPM kembali semula ke kampus

Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar

 

SERDANG, 4 Mac – Seramai 6,500 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dijangka kembali semula ke kampus Serdang dan 1,200 pelajar di kampus Bintulu, Sarawak bagi mengikuti pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara hybrid bermula 1 Mac 2021.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal pelajar & Alumni), UPM,  Prof. Dr. Arifin Abdu berkata pengurusan kemasukan pelajar ke kolej kediaman mengikut zon, tarikh dan sesi bermula 4 Mac 2021 hingga 31 Mac 2021

“Pelajar diwajibkan mengisi borang soal selidik Permohonan Memasuki Ke Kolej Kediaman UPM Semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bagi Pelajar menerusi pautan: https://forms.gle/bsQfZyVX6nxCryBT9 sehari sebelum tarikh kemasukan ke kolej kediaman,” katanya.

Pelajar turut diwajibkan membuat Penilaian Risiko Jangkitan COVID-19 UPM melalui alamat url: https://ertcovid19.upm.edu.my pada hari kemasukan ke kolej kediaman dengan mengemukakan paparan keputusan saringan itu kepada pihak keselamatan.

“Penilaian Risiko Jangkitan COVID-19 UPM ini juga wajib  diisi oleh pelajar pada setiap hari sepanjang tempoh berada kolej kediaman. Antara langkah diambil bagi memastikan pelajar ini sihat ialah menempatkan pelajar sihat bagi proses pemantauan di satu bilik yang menempatkan satu atau dua orang pelajar, manakala pelajar yang kurang sihat akan terus dirujuk ke Pusat Kesihat Universiti (PKU) untuk pemantauan dan penjagaan,” katanya.

Sementara itu, pelajar menyambut baik kaedah pendaftaran dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) dan gembira untuk kembali ke kampus setelah satu semester menjalani pengajian secara talian.

Pelajar Bacelor Sains Pengurusan Perladangan, Fakulti Pertanian, Mohamad Fahmi Abdullah berkata proses pendaftaran kemasukkan beliau berjalan lancar serta mudah kerana dibantu oleh petugas.

“Ini adalah kali pertama saya datang ke kampus UPM Serdang dan saya bersedia untuk menghadapi pembelajaran secara norma baharu di dalam kampus,” katanya.

Beliau yang sebelum ini pelajar di UPM Kampus Bintulu berharap pensyarah dapat menjalankan pengajaran lapangan mengikut SOP yang ditetapkan.

“Sebagai pelajar dalam bidang pengurusan perladangan saya merasakan perlu adanya latihan praktikal di ladang untuk mengukuhkan kefahaman bagi memahami dengan lebih baik secara hands on,” katanya.

Pelajar Bacelor Sains Akuakultur, Fakulti Pertanian, Azlin Syafini Salleh berkata beliau teruja kembali ke kampus setelah semester menjalankan pengajian beliau secara talian.

“Saya akui pengajaran norma baharu ini agak mencabar, saya teruja untuk berjumpa dengan rakan-rakan sekuliah secara bersemuka untuk mengulang kaji bersama-sama,” katanya.

Pada kemasukan pelajar kali ini, ibu bapa pelajar hanya dibenarkan untuk drop off anak di kolej kediaman yang telah ditetapkan oleh pihak universiti.

Seorang bapa, Nor Johan Mohd Yunus berkata kaedah pendaftaran pelajar yang dijalankan secara norma baharu adalah baik dan beliau berpuas hati dengan petugas yang memberi arahan yang mudah untuk diikuti.

“Masyarakat harus menerima norma baharu kehidupan dan kita perlu ikut SOP untuk keselamatan anak-anak serta orang sekeliling. Harapan saya agar anak saya mengikuti SOP yang ditetapkan di universiti dan berjaya dalam pengajian beliau,” katanya.

Seorang ibu, Noorma Sidik berkata beliau menerima dengan positif peraturan SOP yang ditetapkan oleh universiti, dan gembira anak beliau dapat kembali menyambung pengajian di kampus.

“Saya bersyukur anak saya dapat kembali ke kampus kerana saya lihat bukan mudah untuk beliau menjalani pengajian secara talian kerana capaian internet di kampung ada kalanya tidak memuaskan,” katanya. - UPM

Tarikh Input: 14/04/2021 | Kemaskini: 14/04/2021 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUKaMA:12:25