| Universiti Putra Malaysia

Seramai 3,477 pelajar baharu sesi 2018/2019 lafaz ikrar

Oleh: Faiz Hamzah

 

SERDANG, 12 Sept – Seramai 3,477 pelajar baharu semester pertama program Bacelor Universiti Putra Malaysia (UPM) sesi 2018/2019 melafazkan ikrar di hadapan Naib Canselor,  Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris.

 

Lafaz ikrar itu dipimpin oleh pelajar Bacelor Sains (K) Kimia Petroleum, Fakulti Sains Muhd Syahmi Sal Azizi, pada program minggu Perkasa Putra UPM di sini.

 

Muhd Syahmi turut menyerahkan teks ikrar itu kepada Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini.

 

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Iqbal Saripan; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman; Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof. Dato’ Dr. –Ing. Ir. Renuganth Varatharajoo dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Zulkifli Idrus.

 

Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini ketika berucap pada majlis itu berpesan kepada semua pelajar agar saling menghormati antara satu sama lain serta fokus kepada matlamat utama mereka ke universiti.

 

“Saya juga berharap anda semua mengamalkan gaya hidup sihat serta tidak terlibat dalam apa-apa aktiviti tidak sihat atau skim untuk mengejar keuntungan secara cepat,” katanya.

 

Sementara itu, UPM memperkenalkan penggunaan kad-maya sebagai identiti pengenalan pelajar bermula dengan pelajar baharu sesi 2018/2019 itu bagi menggantikan penggunaan kad pelajar sedia ada.

 

Setiap pelajar akan menggunakan Aplikasi Smartphone (bagi penggunaan Android dan IOS) dan WEB Desktop yang dikenali sebagai PUTRA® Virtual ID (PUTRA®VID) untuk pengenalan diri semasa berinteraksi dengan semua kemudahan kampus antaranya capaian aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), penggunaan kemudahan infrastruktur, kehadiran dan pengesahan warga universiti. - UPM

 

WXDTQAZ~